Jalan Terlalu Tinggi Sukarkan Lori
Jalan Terlalu Tinggi Sukarkan Lori
JERANTUT – Jalan utama Jerantut – Lipis dekat Kuala Tembeling, yang menjadi laluan penting bagi penduduk daerah ini, perlu diberi penambahbaikan.
Selain keadaannya terlalu tinggi atau curam, pokok di sepanjang laluan itu juga mengganggu pandangan pengguna jalan raya.
Ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, cadangan untuk memperbaiki keadaan laluan itu sudah dikemukakan bagi perhatian kerajaan sebelum ini, namun sehingga sekarang belum ada apa-apa tindakan dilakukan.
“Ketika zaman Datuk Wan Amizan (Wan Abdul Razak) jadi ADUN Tahan dulu, nampak juga usaha untuk membawa perkara itu ke peringkat kerajaan Persekutuan.
“Selepas arwah tidak ada (meninggal dunia), terbiar begitu saja usaha, tidak ada yang menyambung (usaha) memperbaiki keadaan struktur jalan itu,” katanya.
Razak turut berharap kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan boleh memberi pertimbangan semula untuk menaik taraf jalan berkenaan.
“Kerja naik taraf laluan ini adalah untuk kemudahan semua pengguna jalan raya dari Jerantut dan Kuala Lipis.
“Kalau boleh, biarlah laluan ini menjadi lebih selamat dan selesa untuk semua pengguna dan dapat merancakkan kegiatan ekonomi di daerah ini,” katanya.
TAMAT-SAHIH.