Jalan runtuh di Pos Hendrop, JAKOA hulur bantuan
Jalan runtuh di Pos Hendrop, JAKOA hulur bantuan
GUA MUSANG – Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu menerima laporan daripada penduduk kampung dan juga beberapa portal akhbar tempatan berkenaan jalan runtuh di laluan Kampung Orang Asli Hendrop menuju ke Kampung Orang Asli Tuel, di Jajahan Kecil Lojing, semalam.
Menurut Jurucakap Unit Komunikasi Korporat JAKOA memaklumkan memandangkan jalan tersebut berdaftar di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan berada di bawah pemantauan Pejabat Tanah serta Jajahan Kecil Lojing, pihak JAKOA Kelantan dan Terengganu telah berhubung dengan Penolong Ketua Jajahan berkenaan dan beliau menyatakan bahawa runtuhan tersebut telah dibersihkan.
“Walau bagaimanapun, hanya separuh daripada runtuhan dapat dibersihkan terlebih dahulu kerana bimbang akan berlakunya runtuhan susulan.
“Namun jalan tersebut dapat dilalui secara sehala dan seterusnya dapat menghubungkan penduduk Kampung Orang Asli Tuel ke Kampung Orang Asli Hendrop serta Gua Musang bagi menjalankan urusan harian,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing juga memaklumkan bahawa pembersihan tersebut adalah untuk sementara waktu sahaja dan tindakan lanjut akan diusahakan segera bagi kemudahan serta keselamatan penduduk Orang Asli yang terjejas.
JAKOA akan terus menghulurkan bantuan daripada aspek sosial dan kebajikan sebagaimana skop penugasan yang ditetapkan menggunakan peruntukan yang disalur oleh kerajaan. -SAHIH