JALAN ROSAK TERUK BELUM DIBAIKI
JALAN ROSAK TERUK BELUM DIBAIKI: 5 BULAN ADUAN BELUM ADA TINDAKAN
BENTONG: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman mengambil kesempatan membangkitkan isu kualiti jalan raya yang ada di kawasannya.
Langkah membangkitkan isu itu diambil setelah kemalangan melibatkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin semalam mendapat perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR).
Malaysiakini melaporkan, Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara berkata dia telah membangkitkan aduan yang hampir sama tetapi masih menunggu kerja-kerja penyelenggaran, selepas hampir lima bulan aduan dibuat.
“Contoh aduan yang telah dibuat berkaitan keadaan penutup longkang dan permukaan jalan yang teruk bakal membahayakan penduduk yang melaluinya.
“JKR memberi alasan bahawa peruntukan sudah diminta tapi belum dapat, pokok pun sudah naik tinggi, saya sudah maklum 4-5 bulan tapi keadaan macam ini. Boleh @JKRMalaysia bantu saya?” soalnya di Twitter.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat semalam memohon maaf kepada Khairy yang cedera selepas basikal dinaikinya terlanggar lubang di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.
Kita doakan agar Khairy cepat sembuh, JKR Kuala Langat juga berkata akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan.