Jalan rosak, rencat bawa hasil keluar
Foto atas: Banjir kilat dari limpahan anak Sungai Batu yang melimpah ke atas jalan antara punca laluan rosak di Taman Pertanian Gelanggi, Pulau Tawar, Jerantut, hari ini.
Jalan rosak, rencat bawa hasil keluar
JERANTUT – Jalan masuk ke taman pertanian sejauh lima kilometer dari jalan raya Jerantut ke Simpang Jengka Lapan merupakan laluan utama seramai enam orang petani kawasan itu merencatkan pemunggahan hasil untuk dipasarkan ke bandar Jerantut dan Bandar Jengka.
Disebabkan anak Sungai Batu yang sebelum ini belum pernah mengalami banjir kilat dan beberapa batang perparitan kawasan ladang mulai ditengelami air selepas hujan lebat yang kerap turun awal bulan ini.
Seorang petani, Zainul Ismail, 65, merayu pihak berwajib supaya segera membaikpulih jalan utama ke kawasan Taman Pertanian Gelanggi, Pulau Tawar berikutan rosak teruk akibat banjir kilat anak Sungai Batu sejak awal bulan ini.
“Fenomena banjir kilat juga menyebabkan wujud kawasan saliran baharu, mendapan dan kawasan lopak yang besar di permukaan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda sahaja.
“Pada awalnya jalan ini mengalami kerosakan kecil selepas air Sungai Batu surut, tetapi bertambah teruk apabila lori yang membawa hasil sawit daripada sebuah ladang swasta menyebabkan ada beberapa laluan pecah dan wujud lopak besar,” katanya di Pulau Tawar dekat sini hari ini.
Zainul antara pengusaha pertanian perintis yang menanam sayur-sayuran, nanas, tebu dan pisang secara komersial di kebun seluas 100 hektar di situ sejak lima tahun lalu berharap pihak berwajib dan kerajaan membantu membaikpulih laluan sejauh lima kilometer supaya mereka selesa memunggah hasil pertanian ke bandar.
“Saya juga berharap pengusaha swasta ladang sawit berdekatan membantu membaikpulih jalan ini kerana mereka turut menggunakan jalan ini untuk mengeluarkan hasil ke kilang,” katanya.
Seorang lagi petani, Mazni Saali, 62, juga berharap jalan berkenaan dibaikpulih segera bagi keselesaan petani di situ menheluarkan hasil untuk dipasarkan.
“Sekiranya tidak dibaikpulih, keadaan jalan ini kemungkinan akan terputus langsung ditambah pula hujan lebat kerap turun pada sebelah petang dan malam sejak awal bulan ini.
“Tanaman nanas dan pisang yang kami usahakan akan mengeluarkan hasil dalam masa terdekat dan sekiranya kerosakan jalan belum dibaikpulih sudah tentu membantutkan pasaran di luar,”katanya.-SAHIH.