Jalan Pos Sinderut RM320 Juta dibaik pulih, pelaksanaan dijangka bermula tahun hadapan
Jalan Pos Sinderut RM320 Juta dibaik pulih, pelaksanaan dijangka bermula tahun hadapan- Ihsan Pahang Media
LIPIS – Projek baik pulih Jalan Pos Sinderut sepanjang 34 kilometer (km) dengan peruntukan RM320 juta dijangka mula dilaksanakan pada tahun hadapan, sekali gus memberi kemudahan dan meningkatkan keselamatan penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata projek berkenaan kini berada dalam proses perolehan yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menurutnya, keadaan jalan berkenaan sememangnya memerlukan tindakan segera berikutan tahap kerosakan yang semakin serius di beberapa lokasi kritikal.
“Saya sendiri melalui laluan ini bersama pihak JKR dan KKDW. Keadaannya memang wajar dibaik pulih segera kerana terdapat cerun curam, laluan yang sering ditenggelami air serta jalan yang terhakis sehingga menyerupai longkang,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tapak di Kampung Ulu Tual, hari ini.
Beliau berkata, dengan peruntukan besar berjumlah RM320 juta itu, pihaknya berharap kerja baik pulih dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan bagi mengatasi masalah yang berlarutan sejak sekian lama.
Syed Ibrahim turut yakin kerja-kerja pembaikan dapat dimulakan seawal mungkin walaupun proses perolehan memerlukan penelitian teknikal dan tempoh masa tertentu.
“Keadaan jalan ini sangat memerlukan tindakan segera. Saya berharap projek ini tidak mengambil masa melebihi setahun dan dapat disiapkan selewat-lewatnya pada 2026,” katanya.
Tambah beliau, kerja penyelenggaraan sebelum ini agak mencabar berikutan laluan tersebut terletak di persisiran Banjaran Titiwangsa, selain faktor ketinggian, saliran air serta jarak yang jauh ke kawasan pedalaman.
Jelasnya, jalan itu pernah dibina dan dibaiki beberapa kali sebelum ini, namun punca-punca utama kerosakan telah dikenal pasti dan kali ini baik pulih akan dilaksanakan secara lebih agresif demi kesejahteraan penduduk setempat.-SAHIH.
