JALAN JERANTUT-KUALA LIPIS DITUTUP
SILA DAPATKAN MAKLUMAN AWAL SEBELUM MELALUI LALUAN YANG DIJANGKA DINAIKI AIR
JERANTUT: Orang ramai yang berhasrat menghala ke Kuala Lipis melalui Kuala Tembeling perlu menggunakan laluan alternatif Jalan Jerantut-Benta bagi menggelak banjir yang sedang berlaku di Jambatan Sungai Yap dan di Batu Langgok, Kuala Tembeling.
Jalan Jerantut-Lipis, di Jambatan Sungai Yap mula ditenggelami air sedalam 1.0 meter sejauh 70 meter dan di Batu Langgok turut dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 meter sejauh kira-kira 50 meter, laluan itu ditutup kepada semua kenderaan.
Beberapa laluan masuk ke kampung-kampung turut mulai dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan, jalan ke Kampung Gintong turut dinaiki air sedalam 0.5 meter dan sejauh kira-kira 30 meter di Bukit Puas.
Laluan masuk ke Kampung Paya Garok terputus kerana air mula naik sedalam kira-kira 2.0 meter di kawasan rendah sejauh kira-kira 50 meter mulai jam 5.00 pagi tadi dan keadaan paras air semakin meningkat.
Penduduk Kampung Paya Garok, Nordin Abdul Latif (60) berkata air mulai naik di jalan masuk kampung itu pada jam 5.00 pagi ini, kawasan laluan paling dalam berlaku kawasan rendah sedalam kira-kira 2.0 meter dan jarak ditenggelami kira-kira 50 meter.
“Sekiranya hujan masih berterusan, mungkin laluan utama Jerantut – Padang Piol akan turut ditenggelami air di kawasan Jambatan Garok,” katanya.
Rakannya, Abdul Razak Abdullah (44) berkata, penduduk Kampung Paya Garok mula bersiap sedia sekiranya hujan berterusan dan beberapa pemilik bot genting kaca sudah bersedia untuk melakukan langkah penyelamatan membawa keluar penduduk kampung tersebut seramai kira-kira 500 orang.