JALAN DIGENANGI AIR, ANGGOTA TUDM MAUT DIGILIS LORI
KUALA LUMPUR: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut digilis lori apabila terjatuh di atas jalan selepas motosikalnya hilang kawalan di jalan yang digenangi air dalam kejadian di Jalan Kuching dekat sini, petang semalam.
memetik laporan BH online, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya, berkata mangsa Mohd Husaini Mohd Nasir, 28, dalam perjalanan dari arah Selayang ke Kem Tentera Udara Subang meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kira-kira pukul 4.42 petang, semasa hujan, mangsa yang menggunakan lorong paling kiri yang turut dipenuhi air tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan motosikalnya memasuki lorong paling kanan jalan.
“Sebuah lori yang turut melalui laluan kanan dipercayai sudah melepasi motosikal berkenaan sebelum pemandunya menyedari terlanggar sesuatu di bahagian tayar sebelah kiri.
“Pemandu lori kemudiannya menemui mangsa dalam keadaan tertiarap di atas jalan dengan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat sementara kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.