JALAN CENTRAL SPINE PENDEK MASA PERJALANAAN DAN MENJANA EKONOMI SETEMPAT
JALAN CENTRAL SPINE PENDEK MASA PERJALANAAN DAN MENJANA EKONOMI SETEMPAT
BENTONG: Laluan Seksyen 5C dan 5D yang dibuka semalam bermula daripada persimpangan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) sehingga ke persimpangan Lebu di Mempaga sejauh 28.5 kilometer akan memberi keselesaan kepada penduduk setempat dan sekitar serta memendekkan perjalanan ke bandar Bentong.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan lebuh raya itu bukan saja meningkatkan pertumbuhan ekonomi, malah dapat mengurangkan kesesakan jalan raya khususnya di bandar Bentong dan Raub setiap kali musim perayaan dan cuti sekolah ekoran pertambahan kenderaan menuju ke Kelantan.
“Pembinaan jalan ini juga memudahkan penduduk sekitar kerana Bentong Bypass memendekkan perjalanan dari Kampung Mempaga ke pekan Bentong kepada 12 kilometer atau 20 minit saja berbanding sebelum ini sejauh 30 kilometer dengan masa 45 minit.
“Kesesakan trafik khususnya ketika musim perayaan bakal dapat diatasi dengan pembukaan dua lagi Seksyen Jalan Central Spine (CSR) iaitu Seksyen 5C dari Kampung Asap ke Kampung Sertik di Bentong dan Seksyen 5D Pintasan Bentong secara rasmi bermula hari ini,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian di Majlis Pembukaan Rasmi Jalan Central Spine (CSR) Pakej 5C dan 5D di Bulatan Mempaga, semalam.
Katanya, jajaran Seksyen 5C dan 5D bermula dari Jalan Susur Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (LPT1) melalui Persimpangan Benus, Bulatan Mempaga yang berakhir di Persimpangan Keruntung, Pahang dan laluan tersebut diwartakan menjadi Jalan Persekutuan 34 (Jalan Central Spine).
“Pembukaan jajaran itu sepanjang 22.3 kilometer menjadikan jumlah keseluruhan Jajaran CSR dibuka kepada pengguna adalah sepanjang 89.25 kilometer.
“Saya turut berterima kepada kerajaan pusat kerana meluluskan peruntukan membaiki kerosakan jalan raya ke Cameron Highlands melalui Sungai Koyan, Lipis dengan perinciannya akan dibincangkan bersama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak,” katanya.
Katanya, laluan daripada Karak ke Pelangai yang juga dalam perancangan belum dimulakan kerana belum mendapat peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke-12.-SAHIH.