Jabatan Kesihatan Perak nafi pesakit Covid-19 lari ke dalam hutan
Jabatan Kesihatan Perak nafi pesakit Covid-19 lari ke dalam hutan
IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menafikan berita tular dalam media sosial kononnya terdapat pesakit Covid-19 dalam kalangan Orang Asli di Gopeng, melarikan diri masuk ke dalam hutan.
Pengarahnya, Datuk Dr. Ding Lay Ming memberitahu, tiada laporan diterima Pejabat Kesihatan Daerah Kampar berhubung perkara tersebut.
“Sehingga kelmarin, tiada laporan rasmi diterima mengenai khabar angin yang pesakit Covid-19 telah lari masuk ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau mengulas berita tular di media sosial mengenai 250 Orang Asli di Kampung Ulu Groh dekat Gopeng positif Covid-19 dan melarikan diri masuk ke dalam hutan.
Kampung Ulu Groh dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 hingga 25 September ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, video tular berdurasi 24 saat yang memaparkan petugas kesihatan memakai peralatan pelindung diri (PPE) menyeberangi sungai di kampung itu adalah video pengebumian dipercayai pada Selasa lalu.
Katanya, lokasi tapak pengebumian di kampung itu terletak di seberang sungai di mana petugas kesihatan perlu melalui jambatan buluh untuk menyeberangi sungai berkenaan.
“Jenazah sampai ke kampung lewat petang sekitar pukul 7 petang. Disebabkan petugas dan dua orang waris telah ada dan menunggu di sana, jadi mereka teruskan pengebumian.
“Jenazah diuruskan seperti mana urusan jenazah pesakit Covid-19 lain iaitu dibalut dengan lapisan pelindung yang telah menjalani prosedur disinfeksi,” katanya.
Sementara itu, mengulas PKPD Kampung Ulu Groh, beliau berkata, PKPD itu dilaksanakan susulan pengesanan 52 kes positif Covid-19 dengan satu kematian pada 8 September lalu.
Katanya, sehingga kelmarin, 204 kes positif kumulatif Covid-19 telah dilaporkan di kampung itu dengan enam kematian Covid-19 direkodkan dalam kalangan penduduk di situ.
“Daripada keseluruhan jumlah kes positif yang telah direkodkan, seramai 191 kes positif Orang Asli telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sungkai manakala dua kes ke PKRC Arena Badminton di Ipoh,lapor utusan online
“Selain itu, sebanyak 10 kes telah dimasukkan ke hospital dan satu kematian dilaporkan di rumah,” katanya.