IZIN KELUAR KWSP TINDAKAN TEPAT
BUKTI KERAJAAN PEKA MASALAH RAKYAT
JERANTUT: Pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengemukakan permohonan untuk mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 sangat melegakan rakyat.
Keputusan ini juga dilihat sebagai antara usaha kerajaan meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, walaupun terdapat syarat ditetapkan sebelum KWSP meluluskan permohonan pencarum, namun ia adalah sebahagian daripada prosedur perlu diikuti oleh pemohon.
“Memang syarat (permohonan) ditetapkan KWSP agak ketat, tapi saya fikir ia adalah permulaan yang baik dan menunjukkan pihak KWSP tidak ada masalah untuk mengagihkan wang kepada pencarum yang layak.
“Ini juga antara usaha kerajaan dalam membantu meringankan bebanan rakyat yang masih bergelut sejak COVID-19 dikesan di negara kita awal tahun ini,” katanya.
Beliau berharap berita mengenai kemudahan pengeluaran Akaun 1 diumumkan awal minggu ini juga dapat melegakan ramai pihak dan menunjukkan sikap kerajaan yang sentiasa terbuka dengan pandangan serta kritikan disuarakan rakyat.
Katanya, kemudahan pengeluaran ini diharapkan dapat diperluaskan kepada semua pencarum KWSP dan bukannya kepada golongan sasar semata-mata memandangkan hampir semua peringkat pekerja yang mencarum turut berdepan masalah kewangan ketika ini.