ITIK KENA SELESEMA BURUNG
ITIK KENA SELESEMA BURUNG
BORDEAUX: Menteri pertanian Perancis, Denormandie, hari ini memberi amaran bahawa ratusan ribu itik lagi akan dihapuskan bagi mengekang penularan penyakit selesema burung dalam kalangan haiwan itu di barat daya Perancis.
GAMBAR HIASAN
Lebih 400,000 itik sudah disembelih, kebanyakannya di kawasan Landes iaitu pusat industri menghasilkan foei gras atau limpa itik sebagai makanan eksotik, di mana sekurang-kurangnya 200,000 lagi itik akan dimusnahkan, lapor AFP.
Denormandie berkata sudah pasti ratusan ribu itik lagi perlu dihapuskan dan menyifatkannya perlumbaan mengejar masa bagi membendung virus H5N8 yang sangat patogenik.
“Ia adalah langkah yang drastik dan jelas kita tidak dapat bertindak cukup pantas,” katanya kepada radio France Bleu Gascogne sebelum kunjungannya ke ladang yang dilanda wabak itu.
Beliau mengakui tidak mengetahui jumlah itik yang akan kekal hidup daripada kira-kira lima juta itik di Landes, namun berjanji bahawa ganti rugi berdasarkan nilai pasaran haiwan itu akan dibayar mulai minggu depan.
Khamis lalu, pegawai kesihatan memperluaskan zon penghapusan itik dan angsa dalam radius lima kilometer (km) dari kumpulan haiwan yang dijangkiti, berbanding tiga km sebelum ini.
Selain itu, zon penghadang tambahan juga perlu diwujudkan bagi menghalang unggas daripada masuk.
Pengeluar makanan bimbang wabak selesema burung serius yang berlaku pada musim sejuk antara 2015 dan 2016, di mana lebih 25 juta itik dihapuskan, akan berulang.
Ia diikuti satu lagi wabak pada musim sejuk berikutnya yang menyaksikan 4.5 juta itik dibunuh.
Khamis lalu, pihak berkuasa Belgium berkata virus yang sama dijumpai tiga kumpulan itik ternakan dan sudah dihapuskan manakala kes sama turut dilaporkan di Britain, Ireland, Belanda serta Sweden.