Isu Warisan Felda Diperhalusi, Harris Salleh Komited Bantu Rakyat
Isu Warisan Felda Diperhalusi, Harris Salleh Komited Bantu Rakyat
JERANTUT – Isu pewarisan tanah dalam kalangan warga Felda terus menjadi fokus utama Kerajaan Negeri Pahang dalam usaha memastikan hak milik generasi peneroka tidak terabai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Harris Salleh Hamzah berkata, usaha menyelesaikan isu pewarisan akan digerakkan secara lebih tersusun, termasuk melalui program-program bersemuka seperti Santai Petang yang diadakan di Felda Sungai Retang petang ini.
“Pewarisan ini isu besar. Bila tidak selesai, ia berangkai dan membebankan anak cucu. Sebab itu saya tawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada mana-mana waris peneroka yang ingin selesaikan isu ini,” katanya ketika ditemui di program tersebut.
Menurutnya, program Santai Petang anjuran Kerajaan Negeri bukan sahaja sebagai wadah mendekatkan pentadbiran negeri dengan masyarakat, malah membuka ruang dialog dua hala antara pemimpin dan rakyat Felda.
“Ramai yang hadir hari ini bukan sahaja dari Sungai Retang, tetapi dari pelbagai kawasan Felda dalam Parlimen Jerantut. Mereka datang kerana ingin tahu dan beri pandangan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan telah berbincang dengan pihak Felda termasuk wakil dari ibu pejabat untuk menggerakkan usaha turun padang ke blok-blok Felda bagi menyelesaikan isu pewarisan secara berperingkat.
“Boleh buat mingguan atau dua kali sebulan, terutama hujung minggu bila anak cucu balik kampung. Kita bantu sampai selesai,” jelasnya.
Mengulas isu kelewatan rumah generasi baharu Felda, beliau menegaskan bahawa ia melibatkan pemaju swasta dan tertakluk kepada perjanjian dengan kerajaan.
“Jika pemaju gagal penuhi syarat, kerajaan negeri boleh ambil tindakan demi lindungi hak pembeli. Itu keutamaan kita,” katanya.
Program Santai Petang ini dijangka diteruskan di beberapa kawasan Felda lain dalam DUN Tahan sebagai langkah memperkasa komuniti peneroka secara holistik.-SAHIH