Isu Wang Tunai RM150 Juta: Tiada Pengesahan Rasmi
Isu Wang Tunai RM150 Juta: Tiada Pengesahan Rasmi
KUALA LUMPUR – Dakwaan mengenai penemuan wang tunai berjumlah RM150 juta bersama seorang individu yang didakwa setiausaha politik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, masih belum dapat disahkan oleh pihak berkuasa.
Dalam masa yang sama, keadaan kesihatan Ahli Parlimen Bera itu menjadi tumpuan selepas beliau dilaporkan rebah secara tiba-tiba di kediamannya sebelum dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya pada awal pagi kelmarin.
Anak beliau, Nashriq, mengesahkan bahawa bapanya kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan.
“Benar, dimasukkan ke hospital pagi tadi. Sekarang bapa dalam keadaan stabil,” katanya kepada media.
Bagaimanapun, dalam situasi ini, terdapat pelbagai spekulasi yang berlegar di media sosial, khususnya di platform WhatsApp, mengenai dakwaan yang mengaitkan individu tertentu dengan sejumlah wang tunai yang besar.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa mengenai kesahihan dakwaan tersebut. Tidak mustahil terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mencetuskan persepsi negatif.
Dalam hal ini, pihak berkuasa digesa untuk membuat siasatan lanjut bagi memastikan ketulenan dakwaan yang tular, selain mengelakkan penyebaran berita tidak sahih.
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan menunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkaitan sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Ismail Sabri dikejarkan ke hospital pada jam 2.30 pagi selepas mengalami masalah kesihatan secara tiba-tiba di kediamannya.
Nashriq turut memohon doa orang ramai agar bapanya dikurniakan kesihatan yang baik dan kembali pulih seperti sediakala.-SAHIH