Isu Setempat Diketengahkan Dalam Program Bertemu Masyarakat
Isu Setempat Diketengahkan Dalam Program Bertemu Masyarakat Jengka 24
JERANTUT – Pelbagai isu kebajikan dan pembangunan dibangkitkan dalam Program Hari Bertemu Masyarakat anjuran kepimpinan peneroka Felda Jengka 24 di sini, hari ini.
Program yang dipengerusikan Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud itu menghimpunkan peneroka, peneroka wati serta barisan kepimpinan blok, GPW, MBFM dan KAF selain turut dihadiri Pengurus dan Penolong Pengurus Felda.
Menurut Razak, pertemuan itu menjadi platform penting bagi penduduk menyuarakan pandangan dan cadangan, termasuk usaha meningkatkan pengeluaran hasil sawit yang menjadi sumber ekonomi utama peneroka.
“Turut diberi penekanan ialah kepentingan mencarum insurans kemalangan yang meliputi perlindungan ketika berlaku bencana seperti kematian, kebakaran rumah, ribut dan banjir,” katanya.
Antara isu lain yang diketengahkan ialah keceriaan kampung, pembuangan sisa pepejal, perancangan sambutan Hari Peneroka peringkat kebangsaan serta kesinambungan program perwarisan.
Razak turut menyentuh beberapa projek yang masih belum disiapkan walaupun peruntukan telah diumumkan Menteri Besar pada tahun lalu, antaranya pembinaan padang bola, dewan terbuka dan tandas masjid.
“Selain itu, masalah ternakan berkeliaran serta isu permohonan tanah untuk generasi baharu (STR) turut dibincangkan bagi mencari penyelesaian jangka panjang,” katanya.
Menurut beliau, masyarakat peneroka juga digalakkan menyertai projek sampingan seperti penternakan lembu, kambing, ayam serta pertanian bagi menambah pendapatan isi rumah.
Program itu dilihat sebagai medan terbaik merapatkan hubungan penduduk dengan pihak pengurusan Felda, selain memperkukuh kerjasama dalam menangani isu setempat secara menyeluruh.-SAHIH