ISU SEDEKAH FELDA SELESAI
HORMAT PANDANGAN MUFTI, PENEROKA FAHAM TUJUAN ASAL
JERANTUT: Isu membabitkan program FELDA Bersedekah sudah selesai dan tidak perlu dipanjangkan hingga mengganggu usaha pihak pengurusan FELDA membantu meningkatkan pendapatan warga peneroka.
Kenyataan dikeluarkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman semalam berkait isu sedekah, sepatutnya sudah jelas dan difahami semua pihak.
MUFTI PAHANG, DR ABDUL RAHMAN OSMAN
Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, masalah yang timbul di kawasan FELDA Sungai Tekam Utara baru-baru ini juga sudah diselesaikan dengan baik.
PENGERUSI GABUNGAN MASJID WILAYAH JENGKA, RAZAK DAUD
“Saya bersetuju dan menyokong penuh kenyataan Datuk Mufti Pahang dan istilah sedekah wajib memang tidak wujud.. sedekah adalah amalan sunat yang digalakkan dan bukanlah wajib.
“Apa yang berlaku di FELDA Sungai Tekam Utara adalah disebabkan kekeliruan orang luar yang bukanlah penduduk atau warga peneroka di situ.
“Untuk makluman semua pihak, ketika cadangan dibawa untuk perbincangan di FELDA Sungai Tekam Utara mengenai program FELDA Bersedekah ini, semua warga peneroka sudah menyatakan komitmen masing-masing untuk turut serta (bersedekah), jadi mungkin berdasarkan persetujuan berkenaan jugalah maka timbul isu wajib ketika surat makluman yang pertama itu diedarkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Razak yang juga Ketua Peneroka FELDA Jengka 24 berpendapat, tindakan pihak tertentu menyebarkan surat berkenaan berkemungkinan mempunyai agenda tertentu dan tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku ketika mesyuarat diadakan di FELDA Sungai Tekam Utara.
GAMBAR HIASAN
“Apabila surat itu sudah viral, bermacam tuduhan dilemparkan kepada (pihak pengurusan) FELDA Sungai Tekam Utara.. sedangkan ia (surat makluman) diedarkan selepas persetujuan semua pihak ketika mesyuarat diadakan.. tidak timbul isu sedekah paksa dan ia juga sudah dijelaskan Pengerusi FELDA sendiri, Datuk Seri Idris Jusoh hujung minggu lalu,” katanya.