“ISU PENCEROBOHAN TANAH BUKAN PERSEPSI, KERAJAAN PERLU BERTINDAK” – ABDUL KHALIB
“ISU PENCEROBOHAN TANAH BUKAN PERSEPSI, KERAJAAN PERLU BERTINDAK” – ABDUL KHALIB
TEMERLOH – Ketua Bersatu Pahang merangkap Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah menyeru kerajaan agar memandang serius isu pencerobohan tanah yang semakin membimbangkan dan tidak hanya berpegang pada persepsi semata-mata.
Beliau turut menyentuh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang baru-baru ini yang menzahirkan kebimbangan baginda terhadap isu ketidakpatuhan rakyat terhadap undang-undang, termasuk kes pencerobohan tanah yang didakwa berlaku secara berleluasa di beberapa kawasan.
“Saya minta kerajaan siasat. Ini bukan benda kecil. Jangan buat andaian tanpa siasatan. Isu ini dah lama berulang. Kita tak boleh biar macam tu saja. Titah Tuanku pun jelas, baginda mahu isu ni ditangani tegas,” katanya.
Mengulas isu politik semasa, Abdul Khalib turut mempersoalkan kenyataan seorang pemimpin Barisan Nasional yang mempertahankan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Chow Kon Yeow kononnya sebagai ‘pendapat peribadi’ dan bukan pandangan rasmi DAP.
“Saya heran, ini pertama kali saya dengar orang UMNO pula yang bercakap bagi pihak DAP. Biasanya kalau ada isu sensitif, kita dengar Anthony Loke jelaskan. Ini pelik. Dah jadi budaya pelik dalam politik kita sekarang,” ujarnya .
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Bersatu peringkat Negeri Pahang yang dihadiri lebih 4000 orang di Temerloh semalam.
Turut hadir dalam Majlis tersebut Presiden Bersatu, Datuk Seri Muhyiddin Yassin serta Datuk’ Rofaie Hamdan Ketua Bersatu Bahagian Temerloh,Nurul Qomar Abdol Talib@Ramali, Ketua Bersatu Bahagian Bentong serta kepimpinan di setiap daerah bersatu negeri Pahang,
Menurutnya, tindakan mempertahankan kenyataan seperti itu menunjukkan ketidaksepakatan dalam kalangan komponen kerajaan dan boleh menimbulkan kekeliruan rakyat.
Sementara itu, di Maran, Ahli Parlimen Datuk Seri Ismail Muttalib turut menyokong titah Tuanku yang mahukan rakyat menghormati undang-undang dan hidup dalam perpaduan.
“Kita mesti ikut peraturan, tak kira siapa. Jangan rasa kita boleh langgar undang-undang sesuka hati. Kalau buat salah, kena terima akibat,” katanya semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Maran yang dihadiri lebih 5,000 orang.
Kedua-dua pemimpin ini menzahirkan harapan agar semangat hormat-menghormati, keadilan dan penguatkuasaan undang-undang dapat ditegakkan demi kesejahteraan negara.-SAHIH