Islam ajar santuni anak yatim dengan kasih sayang
Islam ajar santuni anak yatim dengan kasih sayang
ISLAM adalah agama yang prihatin dan menyayangi anak yatim. Ini terpancar melalui qudwah hasanah (contoh teladan yang baik) baginda Rasulullah SAW apabila baginda menyantuni anak yatim dengan penuh kasih sayang dan ihsan.
Dalam satu hadis, baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, ‘Barang siapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampun” (Riwayat al-Tirmidzi).
Menyedari perkara itu, arwah Abd Manaf Tahir mengambil inisiatif serta tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara anak yang kematian ibu bapa atau terbiar tanpa dijaga dengan baik oleh sanak saudara di kariah Kampung Cheh, Bukit Gantang, Perak sejak tahun 2004.
Atas dorongan ahli keluarga dan penduduk kampung, arwah membuka pusat jagaan anak yatim dan terbiar sebagai tugas serta tanggungjawab sukarela yang ihsan melihat kanak-kanak kecil memerlukan kasih sayang, maka wujudlah Persatuan Kebajikan Anak Yatim Nur Hidayah pada tahun 2014.
Pengerusinya, Mohd Yussairie Mohd Saad, berkata selepas kematian bapa mentuanya arwah Abd Manaf dia yang bertindak sebagai setiausaha pada tahun 2006 mengambil alih jawatan pengerusi pada tahun 2018 untuk bertanggungjawab mengurus dan menjaga rumah Anak Yatim Nur Hidayah hingga sekarang.
Menurutnya, dia terpaksa bertabah dan sabar kerana bermacam-macam kecaman, sindiran dan hinaan dilemparkan oleh masyarakat apabila beliau terpaksa menapak ke setiap tempat untuk mendapatkan derma serta sumbangan bagi membiayai kos operasi serta perbelanjaan rumah anak yatim berkenaan.
Tambahnya, dia hanya mampu berdiam diri dan kuatkan semangat kerana arwah bapa mentua pernah berpesan jangan sekali ambil peduli atau berkecil hati dengan perkara sedemikian kerana sudah menjadi lumrah kehidupan yang akhir nanti mereka berkenaan akan sedar kebenarannya tugas kita lakukan itu.
“Sebagai cara lain dengan bantuan rakan-rakan saya kini hanya menguarkan-uarkan melalui media massa atau menghantar surat kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan infak atau sumbangan terutama bagi memastikan bekalan makanan untuk anak yatim ini cukup.
“Saya juga mempelawa sesiapa sahaja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelbagai pihak yang berhajat menyumbangkan bantuan kewangan, barangan makanan dan keperluan asas datang sendiri menyerahkannya yang memberi peluang melihat secara dekat Nur Hidayah,” katanya ketika menerima kunjungan ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) baru-baru ini.
Dalam lawatan yang diketuai Penasihatnya, Azman Rasman, KESUMA’24 turut menyerahkan sumbangan barangan makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum, susu, roti serta naskhah al-Quran di samping wang tunai kutipan derma daripada orang ramai.
Di samping beramah mesra ahli KESUMA’24 turut menyediakan makan tengah hari untuk dimakan bersama-sama anak yatim yang berusia antara dua tahun dan 17 tahun.
Mohd Yussairie berkata, ketika negara dilanda wabak Covid-19 lima tahun lalu, Nur Hidayah yang menempatkan 33 anak yatim itu menghadapi masalah dana dan bekalan barangan makanan yang amat merungsingkan sehinggalah keadaan semakin reda ramai pihak mula menghulurkan pelbagai sumbangan terutama barangan basah.
Menurutnya, bagi mengelak cemuhan yang serta prasangka tidak betul dia mendaftar rumah anak yatim itu untuk menjadi ahli gabungan Persatuan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) kerana secara tidak langsung orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dengan persatuan berkenaan.
“Walaupun rumah ini serba kekurangan namun tiga anak yatim sudah berjaya menyambungkan pelajaran ke kolej dan mereka akan pulang ke Nur Hidayah apabila cuti semester kerana di sinilah mereka membesar meneruskan kelangsungan hidup tanpa belaian manja seorang ibu atau bapa.
“Kami menjaga dan menguruskan kehidupan mereka hanya tumpang gembira apabila melihat yang berpelajaran ini melayan karenah anak yatim lain terutama yang masih kecil seperti adik-beradik sendiri,” ujarnya.