IPGKDRI pertama miliki Mizwalah
IPGKDRI pertama miliki Mizwalah
Foto atas: Dr Narita (kanan) mengiringi Dr Mohamad Isa memotong riben sebagai menandakan perasmian Mizwalah atau Jam Matahari di IPGKDRI.
INSTITUT Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI), Kuala Nerus, Terengganu, IPG pertama menempatkan jam Matahari atau Mizwalah bagi tujuan memantapkan pembelajaran siswa guru di IPG berkenaan.
Pengarahnya, Dr Narita Mohd Noor, berkata pembinaan Mizwalah di dataran itu adalah sebahagian item yang ada di Galeri Warisan Islam yang sudah diwujudkan di IPGKDRI dengan mendapat kerjasama penuh daripada Persatuan Falak Syar’i Malaysia dan Jabatan Ukur Negeri Terengganu dalam mendapatkan Mizwalah yang tepat untuk kegunaan warga IPG.
Menurutnya, idea untuk membina galeri itu timbul apabila pensyarah menghadapi masalah untuk menunjukkan istilah berkaitan dengan waktu solat, kedudukan istiwa berdasarkan kedudukan matahari, Gantang Baghdad, Gantang Madinah dan Istilah Dua Kolah.
“Yang Dipertua Persatuan Falak Syar’i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, memaklumkan IPGKDRI merupakan institusi pendidikan pertama yang mempunyai Mizwalah.
“Tuan Syed Kamarulzaman berharap supaya ilmu mengenai Mizwalah dapat dikembangkan kepada seluruh orang Islam di negara ini dan langkah IPGKDRI membina Mizwalah merupakan satu langkah terbaik kerana guru nanti akan bertugas di seluruh negara dan diharapkan ilmu tentang Mizwalah akan terus tersebar luas,” katanya.
Perasmian dataran berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Rektor, Hal Ehwal Pelajar, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Mohamad Isa Azis bersempena Majlis Tilawah, Tafsir dan Hafazan Al-Quran (MTTHQ) Peringkat Kebangsaan yang diadakan di IPGKDRI, baru-baru ini.
Dalam ucapan pada majlis perasmian dataran itu, Dr Narita melahirkan rasa bersyukur kehadrat Ilahi kerana hadirin dapat berkumpul di dataran Pusat Islam Al Muttaqin (PIAM) itu. Pusat berkenaan dinaik taraf sebagai Pusat Islam berikutan peranannya semakin besar dan mencabar.
Sementara itu, Dr Mohamad Isa dalam ucapan perasmiannya, mengucapkan tahniah kepada IPGKDRI kerana berjaya membangunkan Galeri Warisan Islam di kampus itu selain berasa amat teruja dengan kesungguhan IPGKDRI membangunkan dataran berkenaan kerana ia bukan satu usaha yang mudah.
Katanya, dia amat menghargai komitmen yang ditunjukkan warga IPGKDRI dalam membangunkan galeri berkenaan dan berharap kandungan galeri itu bukan semata-mata replika, tetapi replika yang mendapat pengiktirafan daripada pihak yang berautoriti kerana ilmu Islam itu terlalu luas, istilah yang digunakan oleh ulama sejak dahulu sebenarnya tidak lapuk ditelan zaman.
“Semoden mana sekalipun kehidupan kita, amalan membayar zakat tetap disandarkan kepada sukatan gantang, sama ada Gantang Baghdad atau Gantang Madinah dan majoriti kita hanya boleh menyebut kedua-dua jenis gantang ini, tetapi warga IPGKDRI dapat mempamerkan sukatan gantang yang disebut dalam kitab yang muktabar.
“Adanya sistem perpaipan moden menyebabkan kita tidak kenal dengan “kolah” termasuk istilah dua kolah. Saya percaya, ukuran dua kolah ini pun ramai di antara anak didik kita yang tidak tahu. Walaupun kita tidak mengambil wuduk dengan air kolah, namun ukuran dua kolah sewajarnya menjadi satu pengetahuan yang wajib dikuasai orang mukmin,” katanya.
Katanya, beliau tertarik dengan jam matahari atau Mizwalah Ilmu mengenai falak, penentuan waktu solat, kedudukan matahari dan bulan merupakan ilmu yang hampir pupus. Idea menghasilkan binaan Mizwalah di IPGKDRI sewajarnya diperluaskan ke semua IPG negara kita.
“Ilmu berkaitan dengan ilmu falak syar’i merupakan ilmu yang amat menarik. Ilmuan Islam yang berkaitan dengan ilmu falak semakin dipinggirkan dan saya berharap warga IPGKDRI , khususnya guru pelatih dapat memanfaatkan galeri ini bagi memantapkan pengetahuan dalam dalam ilmu warisan Islam,” katanya.-SAHIH.