Institusi pendidikan perlu manfaat digital interaktif pembelajaran
Foto : Prof Dr Md Amin Md Taff memberikan ucaptama pada Persidangan Global Penyelidikan dan Amalan Pendidikan (GOCERP) 2024.
Institusi pendidikan perlu manfaat digital interaktif pembelajaran
Institusi pendidikan wajar mewujudkan persekitaran inklusif dengan memanfaatkan penggunaan alat digital interaktif dalam pembelajaran yang lebih efektif.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff memberi penekanan terhadap usaha pemerkasaan minda generasi pendidik hari ini untuk mengharungi cabaran masa hadapan.
Antara peserta yang hadir dalam persidangan berkenaan.
“Dunia pendidikan di ambang Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang bercirikan kemajuan teknologi yang pesat, pendidik menghadapi cabaran dalam menyesuaikan amalan pendidikan untuk menyediakan pelajar menghadapi masa depan semakin tidak menentu.
“Satu aspek kritikal dalam meningkatkan kualiti pendidikan untuk masa hadapan adalah menangani jurang generasi pelajar yang boleh mencetuskan ketegangan dalam bilik darjah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Global Penyelidikan dan Amalan Pendidikan (GOCERP) 2024 di EDC Hotel, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Katanya, generasi Alpha yang merupakan generasi termuda membesar dengan teknologi canggih yang tertanam dalam kehidupan seharian mereka dan dijangka menjadi generasi paling mendalami teknologi namun sangat cenderung kepada faedah pembelajaran interaktif berbanding generasi X, Milenium dan Z.
“Oleh itu, pendidik perlu membabitkan diri dalam latihan guru dan pembangunan profesional bagi penyesuaikan diri dengan kaedah serta teknologi pengajaran baharu.
“Penggunaan integrasi teknologi dalam pendidikan seperti penyediaan akses peranti digital dan internet berkelajuan tinggi kepada pelajar penting bagi memastikan mereka mendapat manfaat daripada pembelajaran yang dipertingkat dengan teknologi,” katanya.
Katanya, mendedahkan pelajaran mengenai masalah dunia sebenar ke dalam kurikulum supaya pembelajaran menjadi lebih menarik dan membantu pelajar aplikasikan perkara berkenaan dalam pembelajaran mereka.
“Penyatukan pembelajaran antara mata pelajaran seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, Matematik dengan disiplin yang pelbagai membolehkan disiplin ini diaplikasikan dalam dunia sebenar,” katanya.– SAHIH.