INSTAGRAM BATAL RATUSAN AKAUN YANG DIGODAM
INSTAGRAM BATAL RATUSAN AKAUN YANG DIGODAM
CALIFORNIA: Instagram bertindak menyahaktifkan ratusan akaun dikaitkan dengan kumpulan penggodam yang mencuri dan menjual semula akaun berkenaan termasuk untuk tujuan jenayah.
Anggota kumpulan itu, yang dikenali sebagai OGUsers, sudah diberi surat supaya menghentikan kegiatan mereka oleh Instagram dan Facebook, yang turut bekerjasama dengan pihak penguatkuasa undang-undang.
Kumpulan terbabit menyasarkan nama pengguna yang luar biasa dan mempunyai kurang lima abjad seperti @h4ck atau @sick, yang bernilai untuk dijual semula dalam pasaran sekunder untuk akaun Instagram.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Facebook menjangkakan OGUsers, yang beroperasi sejak 2017, bertanggungjawab dalam urus niaga bernilai jutaan dolar, yang mana setiap akaun boleh dijual pada harga mencecah ribuan atau puluhan ribu dolar, lapor Agensi.
Pengumuman yang dibuat kelmarin itu adalah tindakan yang pertama kali dilakukan oleh pihaknya secara terbuka bagi menyahaktif sejumlah besar akaun Instagram yang digodan dan dijual semula.
Pasukan keselamatan bimbang OGUsers dan kumpulan lain seperti itu akan menjadi lebih aktif serta menggunakan taktik lebih mengancam untuk mendapatkan apa yang mereka cari.
Dengan mendedahkan proses penggodaman, Facebook turut berharap pihaknya dapat membuatkan akaun terbabit kurang menarik untuk dibeli.
Kebiasaannya, akaun seperti itu diperoleh secara serangan phishing, di mana penggodam mengirim e-mel yang kononnya dihantar Instagram, bagi mendapatkan kata laluan atau pertukaran kad SIM.
Mereka kemudian menyamar menggunakan nombor telefon individu lain itu untuk melepasi proses pengesahan identiti.
Malah, baru-baru ini Facebook mendapati penggodam menggunakan bahan seperti maklumat sensitif atau gambar lucah dalam akaun Instagram pemilik untuk memeras ugut atau supaya mereka menjual akaun bernilai komersial tinggi.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Apabila sesuatu akaun Instagram menjadi komersial kerana ramai pengikut, tinggi, lencana pengesahan atau nama pengguna yang popular itu menjadi lebih bernilai untuk dijual semula.
Amalan itu bertentangan dengan syarat perkhidmatan Instagram, namun ia sukar dikesan kerana mangsanya tidak mahu menanggung malu.
Menurut Instagram, pihaknya cuba memulangkan akaun kepada pemilik asal, namun berdepan masalah untuk mengesahkan pemilik asalnya kerana penggodam selalu membuat tuntutan meyakinkan terhadap akaun yang tidak mereka miliki.