Insiden tidak puas hati tular terhadap PDRM di Kaunter Aduan Khas
Insiden tidak puas hati tular terhadap PDRM di Kaunter Aduan Khas
BENTONG – Ibupejabat Polis (IPD) Daerah Bentong prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi oleh semua golongan masyarakat terutamanya mangsa yang dilanda musibah banjir luar jangka yang melanda daerah Bentong, baru-baru ini.
Kes telah tular hari ini berkaitan ketidakpuasan hati orang awam terhadap anggota yang bertugas di Kaunter Aduan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Medan Selera Karak, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, IPD Bentong telah membuka enam kaunter aduan khas di enam lokasi dan sehingga kini sebanyak 3,107 laporan polis secara manual diterima.
Katanya, Ketua Polis Negara telah mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Polis Daerah untuk membuka kaunter aduan khas PDRM di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membantu masyarakat yang terkesan dalam bencana banjir untuk memudahkan urusan dalam membuat laporan polis.
“Oleh itu, lokasi kaunter aduan khas PDRM telah dibuka di Medan Selera Karak, PPS Dewan Arena Bentong, PPS Sekolah Memengah Kebangsaan (SMK) Karak dan PPS SMK Karak Setia.
“Selain itu, PPS Dewan Bukit Piatu, PPS Dewan Bukit Dinding danPPS Pascorp Papersetia, walaupun, semua langkah-langkah telah diambil untuk memberi keselesaan dalam memudahkan orang ramai membuat laporan polis,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, berlaku insiden yang di luar kawalan PDRM disebabkan sikap segelintir petugas yang mungkin terbawa-bawa emosi dengan keadaan dalam suasana menangani keluhan dan kesusahan yang menimpa masyarakat.
“Insiden yang tular pada hari ini (25 Disember) berkaitan luahan dan kekecewaan di kaunter aduan khas Medan Selera Karak akan disiasat sepenuhnya dan tindakan yang bersesuaian akan diambil ke atas petugas tersebut.
“PDRM khususnya IPD Bentong akan sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” katanya.
Katanya, memohon kerjasama dari individu yang terlibat dalam insiden tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan IPD bentong di talian 09-2222222.-SAHIH.