Insiden lembu langgar ambulan berulang
Insiden lembu langgar ambulan berulang
BENTONG, 25 April – Laluan menghubungkan FELDA Chemomoi dan bandar Bera diakui sangat berisiko pada waktu malam.
Dengan jumlah lampu jalan yang terhad, ditambah pula masalah lembu berkeliaran, sudah tentu ia mengundang bahaya kepada pengguna jalan itu.
Dan awal pagi tadi, ambulans dari Klinik Kesihatan FELDA Chemomoi menjadi mangsa apabila seekor lembu dikatakan melanggar kenderaan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkongsi mengenai insiden itu di laman sosial Facebook miliknya.
“Saya dimaklumkan kejadian kemalangan melibatkan sebuah ambulans Klinik Kesihatan FELDA Chemomoi dirempuh seekor lembu di Jalan FELDA Bukit Mendi pada jam 4:25 pagi tadi.
“Ambulans tersebut membawa empat penumpang terdiri daripada dua anggota kesihatan dan dua orang awam yang dalam perjalanan ke Hospital Bera.
“Secara tegasnya saya ingin ingatkan kepada penternak lembu.. mohon pastikan lembu ternakan tidak berkeliaran di kawasan awam, terutamanya jalan raya.. khususnya pada waktu malam,” katanya.
Amizar yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang turut mempersoalkan berapa banyak lagi kes seumpama itu perlu berlaku sebelum semua pihak sedar dan lebih bertanggungjawab.
“Mohon tanggung jawab semua penternak untuk berikan kerjasama.
“Mungkin kali ini bukan di kalangan ahli keluarga kita, namun jika terjadi di kalangan ahli keluarga kita, bagaimana?
“Saya juga memohon kepada semua orang ramai agar berhati-hati ketika berada di jalan raya.. terutama pada waktu malam dan di kawasan lembu berkeliaran,” ujarnya.
Dia mencadangkan rondaan secara berjadual dan tangkapan lembu berkeliaran boleh dilakukan pada masa akan datang bagi mengurangkan risiko kemalangan seperti itu berulang.
“Namun, saya harapkan pandangan semua pihak.. berikan komen, kongsi pandangan untuk kita sama-sama mencari jalan penyelesaian isu ini,” katanya.— SAHIH