Inovasi baharu – Pembiakan benih baka kaedah Pantas Cantuman Durian
Foto atas : Ahmad Mustafa, penyertaan di pameran MAHA 2022 adalah kali pertama bertujuan membawa misi pekebun durian Kampung Damak, Jerantut untuk memperkenalkan baka DPK kepada pengunjung di situ.
Inovasi baharu – Pembiakan benih baka kaedah Pantas Cantuman Durian
JERANTUT – Pekebun durian Kampung Damak, Jerantut untuk memperkenalkan baka Durian Premium Kampung (DPK) kepada pengunjung di Pemeran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, yang barakhir baru-baru ini.
DPK, kampung Damak, Jerantut mula digemari penggemar durian di daerah ini dan luar Pahang kerana keenakan dan aroma isinya termasuk tekstur ulasnya sehingga ini sudah berjaya menembusi pasaran secara kompetitif dengan klon atau baka yang sudah dikenali umum.
Bagi pengusaha kebun durian, Kampung Damak, Jerantut, Ahmad Mustafa, 42, penyertaan di pameran MAHA 2022 adalah kali pertama bertujuan membawa misi pekebun durian Kampung Damak, Jerantut untuk memperkenalkan baka DPK kepada pengunjung di situ.
Ahmad berkata, lebih menarik penyertaan buat pertama kali di pameran tersebut untuk memperkenalkan inovasi terbaharu pembiakan benih baka DPK menerusi Kaedah Pantas Cantuman Durian serta jualan benih pokok DPK.
“Pameran serta demontrasi cantuman tunas DPK Damak, Jerantut berkonsepkan ‘Millions Of Seedling’ (MOS) kerana kaedah ini (cantuman) boleh menghasilkan benih pokok durian baka berkenaan yang lebih banyak dan kadar pembesaran pokok lebih cepat untuk mengeluarkan buah.
“Kami berkongsi pengetahuan dan pengalaman penghasilan cantuman MOS kepada pengunjung dalam kalangan pengusaha pertanian yang berminat untuk mencuba dan menerokai penanaman DPK,” katanya di tapak Pavilion Negeri Pahang, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), baru-baru ini.
Katanya, dia mula membuat percubaan cantuman benih DPK sejak 20 tahun lalu setelah memperoleh kursus kemahiran asas daripada Jabatan Pertanian Pahang (JPP) dan kemudiannya mula memfokuskan baka durian Kampung Damak yang kebanyakan pokok yang ditanam sudah berusia lebih 30 tahun.
“Saya yakin segala usaha yang dirintis menerusi cantuman pantas (MOS) boleh menghasilkan buah (durian) yang bermutu tinggi setanding baka popular pada masa ini.
“Hasil komitmen dengan kerjasama rakan pekebun di Damak, kita telah berjaya mengeluarkan serta memperkenalkan baka DPK malahan sudah menembusi pasaran sejak lima tahun lalu sehingga ini sudah ada penggemar dan pelanggan setiap kali musim raja buah ini,” katanya.
Ahmad berkata, antara buah durian yang berjaya serta dikenali menerusi Kaedah MOS, iaitu, Damak King, MAS Konggo, Mas Hijau, Durian Katak, Naga Emas dan Kepala Gajah yang kesemuanya baka ‘asli’ DPK daripada Kampung Damak, Jerantut.
“Sebagai contoh, DPK Mas Hijau dan Naga Mas mempunyai isi yang enak termasuk aromanya serta tekstur ulasnya seperti ‘aiskrim’ menjadi perhatian pelanggan setiap kali musim buah malahan kebanyakan penggemar luar lebih awal membuat tempahan termasuk DPK jenis lain.
“Pengunjung boleh membuat tempahan baka DPK Damak yang dijual antara RM20 hingga RM30, tetapi penghantaran boleh saya lakukan sekiranya dalam kuantiti yang banyak,” katanya.
Jelasnya, pekebun dan pengusaha pertanian yang ingin mempelajari kaedah cantuman pantas (MOS) atau membuat tempahan benih DPK bolehlah menghubungi Ahmad Mustafa menerusi talian 011 13210544.-SAHIH.