Ini amanah pucuk pimpinan – Shahaniza
Ini amanah pucuk pimpinan – Shahaniza
MARAN- EXCO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menganggap keputusan Barisan Nasional (BN) mencalonkannya di kerusi Parlimen Maran sebagai satu amanah.
Sambil mengakui agak berat hati untuk meninggalkan kerusi DUN, namun beliau yakin pemilihannya itu adalah bukti BN Pahang percaya dengan kemampuan calon wanita dalam PRU15.
“Mungkin kerana pucuk pimpinan merasakan (khidmat) saya diperlukan untuk membantu Pahang dan juga di peringkat ‘federal’ dan saya menerimalah tanggungjawab tersebut.
“Walaupun, saya pun berat hati jugalah nak tinggalkan ‘state’, banyak jugalah yang kita dah buat, membantu MB (Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), tapi saya rasa satu pengiktirafan kepada pemimpin wanita di Pahang.
“Kita pun dah lama tak ada pemimpin wanita (dari) Pahang di peringkat ‘federal’ dan saya amat menghargai amanah dan kepercayaan diberikan Menteri Besar dan pucuk pimpinan kepada saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Chenor Seberang, dekat Maran.
Terdahulu Shahaniza mengiringi Wan Rosdy pada majlis ramah mesra bersama penduduk kampung itu.
Sementara itu, mengulas mengenai fokus utama beliau dalam siri kempen PRU15, Shahaniza berkata, peluang pekerjaan adalah antara yang patut diberi perhatian.
“Misi kita ialah untuk membawa pembangunan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Maran ini, itu yang kita nantikan selama inilah,” katanya.-SAHIH