INFAQ AL-QURAN UNTUK PELAJAR TAHFIZ
INFAQ AL-QURAN UNTUK PELAJAR TAHFIZ
JERANTUT: Koperasi Jaya Malaysia Berhad (KJMB), Kuala Lumpur menyumbangkan sebanyak 95 naskhah al-Quran termasuk kitab terjemahan kepada pelajar tafiz Madrasah Darul Uloom Al-Islamiah, Sungai Salan dekat sini hari ini.
Majlis sumbangan tersebut berasaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu disempurnakan oleh Setiausaha Koperasi Jaya Malaysia Berhad, Borhan Mat Aris kepada mudir madrasah, Maulana Juhari Muhammad Ali Al-Jenderaki
Menurut Borhan, sumbangan berkenaan antara tujuan untuk menggalakkan pelajar di situ mendalami dan menghayati al-Quran sekali gus sebagai muncul sebagai hafiz yang cemerlang.
“Pembelian al-Quran ini antara dana hasil daripada perniagaan koperasi ini untuk pendidikan serta aktiviti keagamaan pelajar tahfiz di sini termasuk di madrasah tempat lain yang akan disumbangkan secara berperingkat.
“Saya juga bersyukur dan berterima kasih kerana sumbangan naskhah al- Quran ini juga daripada usaha kebajikan dan amal jariah seorang dermawan yang juga rakan, Hakim Amir Abd Wahab,” katanya di Sungai Salan dekat sini hari ini.
Borhan yang juga Pengarah Komunikasi Korporat, Institut Koperasi Malaysia seterusnya menambah sebelum ini usaha amal jariah koperasi tersebut juga menginfak naskhah al-Quran kepada seramai 160 orang penuntut Ambang Asuhan Jepun Sesi 2020/21, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada bulan lepas.
Sementara itu, Maulana Juhari bersyukur serta berterima kasih kepada pihak pengurusan koperasi tersebut atas sumbangan naskhah al-Quran yang cukup signifikan untuk kegunaan seramai 300 orang pelajar tahfiz madsarah itu.
“Naskhah al-Quran ini akan mengisi sudut kelas pembelajaran tahfiz dan masjid di sini untuk kemudahan hafazan dan menguasai kemahiran tajwid termasuk pengetahuan agama menerusi kitab terjemahan yang kami terima.
“Selepas ditimpa musibah banjir awal tahun ini dan pembukaan semula madrasah serta kemasukan pelajar di sini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sumbangan ini memberikan kemudahan dan sedikit keselesaan pihak madrasah menguruskan aktiviti pembelajaran nanti,” katanya.
Dalam pada itu, pelajar tahfiz tahun keempat dari Kemaman, Abd Aziz Habil berkata, dia serta rakannya sangat gembira dan teruja untuk kembali belajar lebih lagi menerima naskhah al-Quran baharu termasuk kitab terjemahan.
“Saya berterima kasih kepada dermawan hari ini sekali gus menyuntik galakan kami mendalami hafazan bersungguh sehingga menjadi seorang hafiz yang cemerlang.
“Sumbangan al-Quran yang mempunyai kaedah pembelajaran hafazan berasaskan hukum tajwid juga amat membantu kami mengasah kemahiran berkenaan,” ujarnya.