INDIA GUNA SUMBER PERANGI COVID-19
Berita Global
INDIA GUNA SUMBER PERANGI COVID-19
NEW YORK: India selaku pengeluar vaksin terbesar dunia akan menggunakan sumbernya untuk manfaat masyarakat dunia dalam memerangi pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri, Narendra Modi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu.
Dalam ucapannya secara maya di Perhimpunan Agung PBB, Modi berkata kapasiti pengeluaran dan penghantaran vaksin akan digunakan untuk membantu semua manusia dalam memerangi krisis berkenaan.
“India juga akan membantu semua negara dalam meningkatkan rantaian dan kapasiti penyimpanan untuk pengiriman vaksin,” katanya.
Dalam ucapannya itu, beliau tidak menyentuh secara langsung mengenai perubahan iklim atau pertempuran di sempadan India dan China pada Jun lalu yang menyaksikan 20 anggota tentera India terbunuh.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menegaskan dalam ucapannya kepada PBB bahawa mana-mana negara yang membangunkan vaksin COVID-19 perlu berkongsi secara universal.
Morrison membuat rayuan dengan tegas ketika Amerika Syarikat menolak usaha global untuk berkolaborasi dalam membangunkan vaksin.
“Ini adalah tanggungjawab global dan tanggungjawab moral untuk memastikan pengagihan vaksin dilakukan secara meluas,” kata Morrison.
Modi turut mengulangi gesaan India supaya pembaharuan terhadap PBB dilakukan dan supaya negara kedua terpadat di dunia itu diberi lebih banyak pengaruh dalam badan global.
“Selama lapan hingga sembilan bulan ini, seluruh dunia memerangi wabak coronavirus. Di manakah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam usaha bersama melawan wabak ini? Di manakah tindak balasnya yang berkesan?,” soal Modi.
India bersama Norway, Ireland dan Mexico akan menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB untuk dua penggal bermula 1 Januari 2021.
Sumber: AFP