Inapan Siswa MAS/TNB Universiti Utara Malaysia dinobatkan pemenang kluster pelajar
Foto atas: Muhammad Saniy bersama hadiah kemenangan sempena MABMA KPT 2022 anjuran MAPUM.
Inapan Siswa MAS/TNB Universiti Utara Malaysia dinobatkan pemenang kluster pelajar
KEPIMPINAN Inapan Siswa (Inasis) MAS/TNB Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan Pemenang Kluster Kepimpinan Pelajar; Anugerah kepimpinan Kolej Kediaman Terbaik sempena majlis Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang disempurnakan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled , baru-baru ini.
Pengetuanya, Prof Madya Dr Rohani Abdullah yang ditemui melahirkan bersyukur dan berbangga dengan pencapaian Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS), Muhammad Saniy Samsudin yang bukan sahaja berjaya memenangi anugerah kali pertama bagi kategori itu untuk Inasis malah mencatatkan sejarah Presiden pertama dari Universiti Pengurusan Terkemuka dan kedua terbaik di Malaysia.
“Pengumuman pencalonan akhir yang disiarkan secara langsung melalui Facebook MOHE bersama dua Presiden masing-masing dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sesungguhnya bukan sahaja mendebarkan saya malah semua warga Inasis MAS /TNB dan UUM amnya,” ujar Dr Rohani.
“Kepimpinan yang diterajui pelajar sarjana muda kewangan (SEFB) ini memang terserlah dengan pelbagai projek di kolej kediaman, sama ada pada peringkat universiti, daerah, negeri, kebangsaan malah hingga kepada peringkat antarabangsa,” katanya.
Katanya, Muhammad Saniy bersama JKPS-nya sentiasa membina rangkaian hubungan yang baik dengan komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam menjayakan program yang disertai mereka.
“JKPS Inasis MAS/TNB itu sentiasa bertindak segera sekiranya terjadi sesuatu bencana atau musibah menimpa penduduk sekitar daerah Kubang Pasu yang memerlukan pertolongan mereka.
“Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa juga menjadi kepastian bagi kami untuk membantu penduduk atau mana-mana organisasi di sini yang memerlukan bantuan contohnya keperluan pelitup muka ketika calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang menghadiri peperiksaan ketika itu,” katnya.
Tambahnya, “Ilmu Budi dan Bakti yang tersemat di logo universiti ini juga mengerakkan pengurusan Inasis, pelajar dan staf turun padang untuk membantu menyiapkan surau asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior yang bernilai lebih RM170,000.
Sementara itu Muhammad Saniy yang ditemui berkata, kemenangan itu bukan miliknya seorang tetapi adalah hasil usaha bersama Pengurusan Inasis, JKPS, warga MAS /TNB dan UUM khususnya.
“Kami sedar sebagai pelajar universiti pengurusan bukan sahaja menumpukan perhatian kepada bidang akademik sepenuhnya malah kepimpinan menjadi teras untuk berusaha dan membuktikan bahawa pelajar universiti pengurusan ini memang terbaik.
“Pemimpin sentiasa berganti namun kejayaan dan kepimpinan bukan milik peribadi tetapi ianya adalah hasil asuhan dan kerja dalam pasukan,” katanya.
Beliau berkata, selain program di kampus mereka juga terlibat membantu warga emas yang mempunyai masalah penglihatan dan memerlukan kewangan berjumlah RM5,600 untuk pembedahan dua kelopak mata.
Muhammad Saniy yang juga Pembentang Kertas Kerja Terbaik bertajuk Krisis Ekonomi Global: Kesan Wabak COVID-19 di Persidangan Dalam Talian di Asia World Model United Nations Virtual Conference MMXXI.
Persidangan disertai 740 perwakilan antarabangsa dari 58 negara, pada persidangan organisasi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk membincangkan mengenai tajuk berkenaan pada 26 hingga 28 Mac 2021.
Dalam masa sama , Muhammad Saniy turut dipilih mewakili Malaysia dan ASEAN sebagai YSEALI Felo Akademik dalam bidang keusahawanan sosial serta pembangunan ekonomi di University of Texas , Austin yang ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Pelajar Sarjana Muda Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan UUM itu turut dijemput sebagai Mentor bagi pertandingan rancangan perniagaan oleh Universitas Gadjah Mada, Indonesia pada 2022.-SAHIH.