IKAN SANGKAR MATI, KERUGIAN RM 1.6 JUTA
IKAN SANGKAR MATI, KERUGIAN RM 1.6 JUTA
JERANTUT: Kira-kira 20 pengusaha ikan sangkar di Kampung Lada, Kampung Perias termasuk Jerantut Feri mengalami kerugian besar akibat ikan sangkar peliharaan mereka yang boleh dijual minggu ini mati sejak dua hari lalu.
Tinjauan SAHIH, dianggarkan 80 buah sangkar terlibat dengan kejadian itu dan kira-kira 160,000 ekor ikan mati dengan kerugian keseluruhan hampir RM 1.6 juta.
Seorang pengusaha, Afzalrullah Isharum (28) berkata, sepatutnya ikan-ikan itu boleh dijual minggu ini kerana saiz dan beratnya dianggarkan antara 800 gram sehingga 1.2 kilogram.
“Minggu lepas, hujan berterusan mengakibatkan beberapa tempat banjir kilat terutama kawasan Hulu Tembeling dan paras air sungai di kawasan sungai tempat ternakan kami turut naik mendadak.
“Sejak dua hari lalu, sebanyak 10,000 ekor mati, punca sebenar masih tidak diketahui, sepatutnya ikan ternakan saya boleh dijual minggu ini, saya fikir hanya sangkar ikan saya sahaja yang terlibat,” katanya.
Katanya, hujan reda empat hari lalu, bermula air sungai surut banyak ikannya mati, keadaan air sungai ketika itu terlalu keruh.
Seorang lagi pengusaha di Kampung Lada, Zaharah Aidin berkata sudah lima tahun menternak ikan, ini kali pertama beliau mengalami kejadian seperti ini.
“Kira-kira empat sangkar ikan terlibat dan dianggarkan hampir 10,000 ekor mati, ini lah mata pencarian kami sekeluarga, hasil jualan ikan ini sudah dirancang untuk perbelanjaan sambutan bulan puasa dan hari raya Aidil Fitri, bulan Mei nanti,” katanya.
Sementara itu, Ahli parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang meninjau tempat kejadian turut terkejut dan simpati apa yang dialami oleh pengusaha ikan.
“Pihak pejabat parlimen akan berusaha memohon pihak berwajib untuk menyiasat punca sebenar kejadian ikan mati sebegitu banyak dan melibatkan kira-kira 20 pengusaha ikan dan puluhan sangkar.
“Kerugian besar pasti dialami oleh pengusaha yang telah mengeluarkan modal yang banyak dan bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan ikan seperti patin dan tilapia yang boleh dijual minggu ini,” katanya.
Katanya, ternakan ikan sangkar sepanjang Sungai Pahang dari Kuala Tembeling sehingga ke Kampung Gintong menjadi lokasi terbaik penternakan ikan sangkar yang menggunakan air Sungai Pahang di daerah ini dan menjadi buruan pemborong ikan yang datang dari pasar Selayang untuk dijual di Lembah Klang.