Idea ‘Tok Gajah FC’ untuk Selamatkan Sri Pahang FC!
Idea ‘Tok Gajah FC’ untuk Selamatkan Sri Pahang FC!
KUANTAN – Seorang penyokong setia Sri Pahang FC tampil dengan cadangan berani demi menyelamatkan kelab kesayangannya yang kini berdepan pelbagai cabaran pengurusan dan kewangan.
Jo Ibrahim menerusi hantaran Facebooknya mencadangkan penubuhan sebuah koperasi dinamakan Koperasi Tok Gajah (KTG) yang terbuka kepada semua penyokong untuk menjadi ahli. Menurutnya, jika 30,000 ahli mendaftar dengan yuran RM100 seorang, ia mampu mengumpul modal permulaan sebanyak RM3 juta.
“Satu pasukan pengurusan profesional perlu dilantik dan beroperasi secara bebas daripada Perbadanan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP). Jangan libatkan yang sedia ada dalam PBNP, audit semua perbelanjaan,” katanya.
Jo menegaskan keperluan untuk CEO sedia ada berundur jika hanya mampu bekerja secara sambilan dan menyerahkan pengurusan kepada profesional sepenuh masa. Tambahnya, langkah itu akan meningkatkan keyakinan penaja untuk menyalurkan dana melalui koperasi sebagai pelaburan.
“Koperasi bukan saja biayai pasukan, tapi juga buat bisnes untuk jana keuntungan. Ahli pula dapat kad diskaun beli produk Sri Pahang dan guna dalam rangkaian perniagaan penaja,” katanya lagi.
Jo turut mencadangkan penjenamaan semula kelab dengan nama baharu seperti Pahang Darul Makmur FC atau Tok Gajah FC selain mencadangkan penganjuran karnival Tok Gajah dan jelajah ke seluruh negeri bagi menarik keahlian.
“Sekarang masa yang sesuai. Jangan buang duit bayar elaun ‘passenger’ ramai sangat,” katanya sinis.
Cadangan itu ditujukan kepada Exco Sukan Pahang, YB Fadzli Kamal agar diberikan perhatian serius demi masa depan pasukan yang mempunyai sejarah gemilang dalam kancah bola sepak negara.-SAHIH