IBU MUDA KONGSI REZEKI SUMBANG MAKANAN MANGSA BANJIR
PEMILIK TERKESAN DENGAN MANGSA YANG DILANDA MUSIBAH BANJIR
TEMERLOH: Sebuah kedai makan yang terletak di Jalan Pak Sako di Temerloh sanggup berkongsi rezeki bersama penduduk yang terjejas dilanda musibah banjir yang berlaku baru-baru ini.
Pemiliknya, Atikah Muklis berkata, bermula kejadian banjir yang besar pada tahun 2014 yang melanda bandar Temerloh, beliau terkesan dengan kesukaran dan kesulitan yang dihadapi oleh mangsa yang banyak kehilangan kemudahan dan keperluan yang dihanyut air, malah ada rumah yang turut musnah.
“Mula dari saat itu, ketika saya mengandung anak sulung berpakat dengan suami untuk membantu mangsa dengan memasak dan mengedarkan kepada mangsa.
“Lebih pilu mendapati ada sahabat saya memaklumkan yang anak mangsa masih tidak menjamah makanan lagi, maka masakan bubur dibuat dan diedarkan kepada semua yang terlibat,” katanya, hari ini.
Katanya, kejadian banjir awal tahun ini berlaku, beliau dan suami turut terpanggil untuk membantu menyediakan makanan dan disumbangkan kepada mangsa.
“Saya membuat satu hantaran melalui platform media sosial baru-baru ini dan ditularkan serta mendapat maklum balas dari sahabat dan orang ramai yang berhasrat untuk turut menyumbang kepada mangsa banjir kali ini.
“Alhamdulillah, ramai yang menyumbang sehingga dapat mengumpul wang lebih RM13,000 untuk membeli bahan makanan untuk dimasak dan diedarkan kepada mangsa,”katanya.
Katanya, sambutan orang ramai khususnya mangsa berterima kasih kerana dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung mereka di saat menghadapi kesukaran, sumbangan terbesar setakat ini dapat menyediakan 400 bungkus nasi lemak dan 800 botol air minuman diedarkan di Kampung Tengah.
“Saya berniat semua sumbangan dan sedekah yang sampaikan itu untuk arwah mertua, ibu dan bapa saya, ini adalah sumbangan saya, rakan serta orang perseorangan yang turut menyumbang yang terbesar setakat ini.
“Kepada yang memerlukan bantuan, sila datang ke kedainya, Insya Allah saya akan cuba membantu,” katanya.