IBU MANGSA DERA PERNAH TERIMA RAWATAN PSIKIATRI
IBU MANGSA DERA PERNAH TERIMA RAWATAN PSIKIATRI
MELAKA: Polis mengesahkan ibu kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera kelmarin, pernah mendapatkan rawatan psikiatri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata suspek berusia 32 tahun itu bagaimanapun hanya mendapatkan rawatan biasa dan bukan sebagai pesakit mental.
“Ya, suspek pernah mendapatkan rawatan, tetapi sudah lama iaitu pada 2019 dan rawatan itu diterima di Hospital Melaka, namun hanya rawatan biasa yang mana wanita itu tidaklah (mental) seperti didakwa,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman
Semalam pasangan suami isteri yang disyaki mendera dan membunuh kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, di Taman Krubong Jaya direman tujuh hari sehingga 5 Februari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, mangsa ditemukan lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.
Sementara itu, Mohd Sukri menggesa masyarakat khususnya pengguna media sosial untuk menghentikan segala bentuk spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat, sekali gus mengganggu siasatan pihak berkuasa.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Katanya, masyarakat sepatutnya menilai sesuatu kes jenayah menurut kaca mata keadilan dan bukannya membuat andaian serta spekulasi yang mencacatkan sistem keadilan jenayah, seterusnya menimbulkan fitnah kepada sistem pentadbiran keadilan jenayah, lapor BH Online.
“Serah sahaja kepada polis untuk menjalankan siasatan dan polis akan memastikan siasatan dijalankan mengikut undang-undang serta kuasa yang diberikan dengan telus, adil dan amanah,” katanya.