IBU KEPADA 3 ANAK YANG MENINGGAL DUNIA MASIH KOMA
IPOH: Wanita yang kematian tiga anak dalam nahas di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam, masih berada dalam keadaan koma tetapi stabil.
Mangsa, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, pagi tadi.
Sehingga kini, ahli keluarganya belum berpeluang melihat sendiri keadaan mangsa, sebaliknya sekadar mendapat maklumat daripada doktor yang merawat.
Menurut Berita Harian, abang mangsa, Muhd Jazli Aiman, 31, berkata mereka dimaklumkan doktor yang adiknya berada dalam keadaan stabil.
“Saya pun belum berkesempatan melihat adik kerana tidak dibenarkan berbuat demikian dan tidak tahu keadaannya macam mana.
“Kami dimaklumkan doktor, yang adik saya stabil cuma belum sedarkan diri,” katanya ketika ditemui menguruskan jenazah tiga anak saudaranya yang terbunuh dalam nahas itu di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.
Muhd Jazli berkata, ketika nahas berlaku, adiknya dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta di sana.
Beliau berkata, Nur Aimi bersama ketiga-tiga anaknya memang tinggal berasingan dengan suami.
Katanya, jenazah tiga anak saudaranya itu dijangka akan dikebumikan di Kampung Sungai Putat, Melaka, hari ini.
Dalam nahas jam 3 petang itu, Nur Aimi Nadiah, 27, cedera parah manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi.
Kejadian berlaku apabila Perodua Axia dipandu Nur Aimi terbabas sebelum melanggar belakang treler yang berada di laluan kecemasan.
Kemalangan membabitkan kereta dan dua lori itu berlaku di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak.