Ibu hamil maut, anak dalam kandungan terkeluar dalam kejadian kemalangan
Ibu hamil maut, anak dalam kandungan terkeluar dalam kejadian kemalangan
PASIR MAS – Kejadian seorang wanita sarat hamil sembilan bulan dengan bayinya terkeluar dari kandungan, maut dalam kemalangan di Kampung Banggol Stol, Repek, dekat sini, pada jam 7.00 malam, semalam.
Mangsa, Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah sementara bayinya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, Nor Haliza yang sarat hamil sembilan bulan menunggang motosikal bersama anak perempuannya berusia enam tahun dengan mengekori suaminya untuk ke kedai runcit.
“Setiba di lokasi kejadian, Muhamad Shakim yang menunggang motosikal dipercayai telah memasuki laluan Nor Haliza menyebabkan berlaku pertembungan. Ketika itu, Nor Haliza turut menunggang motosikal,” katanya, hari ini.
Menurutnya, kesan perlanggaran itu mengakibatkan Nor Haliza meninggal dunia dan bayi dalam kandungannya telah terkeluar.
Beliau berkata, ketika itu bayi tersebut masih lagi bernyawa dan kemudian dibawa ke HPM untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, seorang lagi anak mangsa, Nurul Iman Maisara Mohd Khairi mengalami kecederaan pada kepala, luka-luka di tangan dan muka dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi HPM. Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Wan, berkata kejadian berlaku terlalu pantas namun dia sempat melihat kedua-dua motosikal bertembung dan lebih menyayat hati apabila bayi dalam kandungan ‘terkeluar’.
“Mereka cuba dibantu oleh orang ramai yang melalui jalan berkenaan sebelum menelefon ambulans dan pihak polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di pekarangan HPM, di sini, hari ini.-SAHIH.
Dipetik : Berita Harian / MStar.