Ibu bernafas menggunakan bantuan peralatan oksigen
Ibu bernafas menggunakan bantuan peralatan oksigen
JERANTUT : Seorang anak, Khatijah Che Wain, 55, berasa sebak melihat ibunya, Salmah Husin, 83, mengalami gangguan pernafasan dan hanya bergantung kepada tabung oksigen untuk menyambung hayat di Felda Sungai Tekam dekat sini hari ini.
Ibunya mengalami penyakit paru-paru yang kronik mula dikesan pada 2015 dan lama-kelamaan menyebabkan tidak boleh menghembus dan menghela nafas serta mula menggunakan bantuan peralatan tabung oksigen elektrik sejak dua minggu ini.
Khatijah menjelaskan ibunya mula bergantung kepada tabung oksigen elekrtik yang disambung melalui tiub getah menerusi hidung untuk bernafas sejak paru-parunya rosak dan tidak berfungsi dikesan oleh doktor Hospital Bandar Pusat Jengka.
“Saya sebak melihat ibu sukar bernafas dan lebih lagi berasa cemas apabila kadang kala berlaku bekalan elektrik terputus menyebabkan aliran oksigen terhenti.
“Ketika bekalan elekrtik terputus ibu mengalami gangguan untuk bernafas dan terpaksalah kami menyewa tabung oksigen yang boleh diganti (disambung) bagi memulihkan dia bernafas,” katanya di Felda Sungai Tekam dekat sini hari ini.
Katanya, sehingga ini mereka hanya menyewa peralatan pernafasan kuasa elekrik dan tabung oksigen daripada sebuah farmasi di Bandar Pusat Jengka dengan perbelanajaan RM400 sebulan.
Bercakap selanjutnya, Khatijah yang tidak bekerja semata-mata menjaga ibunya berkata, tekanan yang dihadapi keluarga lagi apabila ibunya turut mengalami komplikasi jantung bengkak dan darah tinggi dihidapinya sejak tujuh tahun lalu.
Katanya, sebulan sekali akan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) dan Bandar Pusat Jengka sebulan sekali untuk merawat ketiga penyakit tersebut termasuk mengambil darah.
“Sebelum ini, dia kerap kali ditempatkan di wad selama beberapa hari untuk rawatan kali terakhir pada bulan lalu apabila doktor mengesahkan paru-parunya kronik dan terpaksa menggunakan bantuan oksigen untuk bernafas.
“Selain tabung oksigen , ibu saya hanya bergantung kepada ubat yang dibekalkan oleh hospital dan Klinik Kesihatan Tekam Utara malah hanya berbaring di tempat tidur sejak ditimpa penyakit kronik ini,” katanya.
Khatijah Che Wain (duduk) menjaga ibunya, Salmah Husin (berbaring) yang cuma bernafas menerusi peralatan oksigen elektrik (bawah, kanan) di Felda Sungai Tekam, Jerantut, Pahang hari ini.
Khatijah berkata, ibunya yang mempunyai sembilan orang anak berusia antara 51 hingga 64 tahun hanya makan nasi kanji dan bercadang untuk membeli susu tepung yang mengandungi campuran bahan kesihatan.
“Saya dan keluarga terpaksa mengeluarkan belanja rawatan sebanyak RM60, manakala menyewa ambulans mencecah RM600 ketika berulang alik bagi keselamatan dirinya semasa ke hospital.
“Ini ditambah pula dengan belanja menyewa peralatan elektrik membantu pernafasan, tabung oksigen , lampin pakai buang dan kebajikan lain mencecah sebanyak RM1,600 sebulan,” katanya.
Khatijah berharap kerajaan dan dermawan dapat membantu katil untuk orang sakit (seperti katil hospital) dan kerusi roda bagi memudahkan dibawa ke bilik air.
Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Khatijah Che Wain menerusi talian 017 9302296 atau sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0600441000066493 (Salmah Husin) atau akaun Maybank bernombor 156020517507 (Khatijah).-SAHIH