Ibu 15 tahun tikam bayi sendiri sejurus melahirkan
Ibu 15 tahun tikam bayi sendiri sejurus melahirkan
Foto atas: Kejadian berlaku di sebuah rumah
KEMAMAN – Ibu muda berusia 15 tahun dipercayai tikam bayi sendiri sejurus dilahirkan di Kampung Sri Bandi, dekat sini, semalam.
Bayi lelaki yang baru dilahirkan mati dalam keadaan ngeri dipercayai ditikam ibu kandungnya dengan menggunakan objek tajam di bahagian dada kiri dan kejadian dipercayai berlaku antara jam 8.00 hingga 9.00 pagi
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati remaja perempuan yang keciciran persekolahan sejak beberapa tahun lalu dipercayai bersendirian di rumahnya ketika melahirkan bayi itu.
“Dia kemudiannya meminta pertolongan seorang rakannya untuk memaklumkan kelahiran tersebut kepada kakitangan sebuah klinik kesihatan berhampiran.
“Sebaik tiba di rumah terbabit, pegawai kesihatan mendapati bayi terbabit sudah tidak bernyawa dengan kesan luka pada bahagian dada dipercayai ditikam dengan objek tajam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Hanyan berkata, sepasukan polis bergegas ke rumah tersebut sebelum bertindak menahan suspek bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, mayat bayi tersebut telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.
Sumber: K! ONLINE