HUTANG PUNCA DIBUNUH
Berita Jenayah
HUTANG PUNCA PESARA POLIS DIBUNUH
JOHOR BAHRU: Menuntut hutang dipercayai menjadi punca seorang pesara polis dibunuh sebelum mayatnya ditemui di sebuah kubur sedalam 0.9 meter di kebun kelapa sawit di Batu 26, Kahang, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, hasil soal siasat awal terhadap dua suspek berusia 37 dan 41 tahun, mangsa dipercayai memberi sejumlah wang kepada suspek untuk perniagaan.
Beliau berkata, hubungan dua suspek dengan mangsa, Su Kim Chiang, 54, adalah kawan lama dan bersahabat baik, malah mangsa juga sudah banyak kali memberikan pinjaman wang kepada suspek bagi tujuan perniagaan.
“Lokasi mayat dijumpai berdasarkan hasil pandu arah diberikan dua suspek selepas mereka ditangkap pada 16 Oktober lalu pada jam 10 pagi di Kluang.
“Kita percaya motif pembunuhan ada kaitan dengan hutang. Mangsa yang juga pesara polis bahagian cawangan khas di Kluang memberi hutang kepada suspek bagi tujuan perniagaan, mangsa bukan Along tetapi memberi pinjaman atas dasar kawan baik.
“Apabila mangsa minta duit daripada suspek, mungkin berlaku pertengkaran dan pembunuhan. Mangsa memang kenal rapat dengan dua suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Portal myMetro semalam melaporkan selepas 47 hari hilang akhirnya misteri kehilangan pesara polis sejak 31 Ogos lalu terungkai dengan penemuan kubur sedalam 0.9 meter di kebun kelapa sawit di Batu 26, Kahang.
Ayob Khan berkata, hasil soal siasat, baki hutang suspek hanya tinggal RM2,500.
“Mungkin suspek pinjam lebih tinggi atau kurang tetapi sudah bayar dan bakinya tinggal RM2,500,” katanya.
Menurutnya, lokasi mayat ditemui di kebun kelapa sawit iaitu 20 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang pada 31 Ogos lalu.
“Jarak kebun kelapa sawit tempat mayat dijumpai adalah dua kilometer dari lokasi rangka motosikal milik mangsa ditemui di sungai di Kluang.
“Terdapat kesan pada mayat dipercayai dipukul sebanyak empat kali dengan objek tumpul.
“Hasil siasatan yang dilakukan terhadap dua suspek, polis percaya pertengkaran dan pembunuhan berlaku pada 31 Ogos antara 8 malam hingga 12 tengah malam di stor kedai tayar tempat suspek bekerja,” katanya.
Ayob Khan berkata, bedah siasat dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan waris mangsa dipanggil untuk pengecaman namun disebabkan keadaan mayat yang reput, proses pengecaman tidak dapat dilakukan.
Namun, waris mengesahkan pakaian pada mayat dipakai mangsa sebelum keluar rumah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro