Hujan berhenti, Ulu Tembeling pulih, Taman Negara mula terima kehadiran pelancong
Hujan berhenti, kawasan Ulu Tembeling pulih, Taman Negara mula terima kehadiran pelancong
Foto atas: Kawasan Tebing Kampung Bantal, Ulu Tembeling, air sungai Tembeling mulai surut
JERANTUT – Hujan berhenti petang semalam menyaksikan air Sungai Tembeling di mukim Ulu Tembeling daerah ini mulai surut dan penduduk lega kerana dapat keluar bekerja, manakala pengusaha dan penggiat ekopelancongan Taman Negara boleh meneruskan aktiviti pelancongan sempena cuti sekolah mulai minggu ini.
Penduduk Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jamizan Rashid, 44, berkata, air Sungai Tembeling yang melimpah masuk ke dataran kedai kopi, kedai runcit, rumah dan jeti di situ tiga hari lalu surut begitu cepat sejak petang semalam berikutan tiada hujan dan cuaca kembali cerah di kawasan ulu sungai.
“Namun, penduduk masih tetap waspada walaupun fenomena banjir kilat jarang berlaku pada bulan Februari dan Mac seperti tiga hari lalu, kemungkinan cuaca boleh berubah memandangkan negeri Terengganu dan Kelantan belum lagi pulih.
“Pagi ini, air Sungai Tembeling di paras normal dan dijangka kembali seperti biasa bagi membolehkan penduduk keluar bekerja menoreh getah, kebun sawit, menangkap ikan liar termasuk operasi pengangkutan bot penambang kembali pulih,” katanya di Kampung Bantal, dekat sini hari ini.
Pengerusi Bird Group Taman Negara, Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim, 56, berkata, fenomena banjir kilat berpunca peningkatan paras air Sungai Tembeling itu hanya tempoh satu atau dua hari sahaja dan kemudiannya pulih sedia kala.
“Kebiasaanya, apabila kampung pedalaman Ulu Tembeling seperti Kampung Bantal dinaiki air kawasan pesisir, kawasan kami (Kuala Tahan) serta kawasan pesisir di hilir sungai akan menerima kesan kenaikan paras air antara tempoh empat atau lima jam kemudian.
“Kami bersyukur banjir kilat di kawasan ulu sungai kembali pulih dan mula mencongak untuk menyambut kehadiran pengunjung ke Taman Negara berikutan cuti sekolah minggu ini,” katanya di Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Katanya, pada awal bulan Februari cuma sebanyak 40 peratus pengunjung domestik melawat ke situ semasa cuti hujung minggu dan yakin akan meningkat lebih 70 peratus kerana cuti persekolahan sudah bermula bergantung kepada keadaan cuaca.
Rakannya, pemandu alam sekitar, Mohd Kamil Hakim Rozali 32, berkata, fenomena banjir kilat dan kenaikan air Sungai Tembeling di daerah ini pada bulan Februari dan bulan berikutnya tidak pernah berlaku dan amat pelik berbanding tahun sebelum ini kerana waktu (bulan) ini sudah bermula musim kemarau dan sungai cetek.
“Apapun kita reda dengan ujian Allah SWT kemungkinan masih ada tiupan angin monsun luruan mengakibatkan hujan lebat di hulu sungai dan juga kesan bencana banjir yang juga berlaku di beberapa buah tempat di negeri Kelantan dan Terengganu.
“Pengusaha dan penggiat ekopelancongan di Taman Negara amat berharap keadaan ini segera pulih untuk membolehkan pengunjung domestik selesa berkunjung ke sini sepanjang cuti persekolahan mulai minggu ini,” katanya.-SAHIH.