Huffaz Profesional Melalui TVET – RM150 Juta Disalurkan
Huffaz Profesional Melalui TVET – RM150 Juta Disalurkan
JERANTUT: Kerajaan memperkenalkan langkah baharu bagi memprofesionalkan golongan huffaz dengan mengintegrasikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke dalam sistem pendidikan tahfiz di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata inisiatif itu memberi peluang kepada pelajar tahfiz memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 5, sekali gus melayakkan mereka menyambung pengajian ke Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang merangkumi enam universiti teknikal utama.
“Dengan kelayakan SKM Tahap 5, para huffaz boleh melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan dan teknologi, tanpa menjejaskan sistem pembelajaran tahfiz serta pondok sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat Madrasah An Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyyah, Kampung Masjid, Pulau Tawar, dekat sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi menyokong pelaksanaan program berkenaan, termasuk menaik taraf kemudahan dan memperkukuh institusi tahfiz berdaftar dengan pihak berkuasa negeri yang menyertai ekosistem pendidikan TVET.
Katanya, usaha itu sebahagian daripada dasar kerajaan memperkasa maahad tahfiz dan sekolah pondok sebagai teras kepada pembangunan syiar Islam di Malaysia.
“Program ini menzahirkan komitmen kerajaan untuk melahirkan huffaz profesional, selaras dengan slogan ‘Memprofesionalkan Huffaz di Seluruh Negara, insya-Allah’,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan itu juga membolehkan pelajar tahfiz seimbang antara ilmu ukhrawi dan kemahiran duniawi, sekali gus melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran tinggi.
“Kerajaan akan memastikan pelaksanaan program ini diperluas ke seluruh negara agar manfaatnya dirasai oleh semua institusi tahfiz yang berdaftar,” katanya.
Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa kerajaan memperkukuh pembangunan Islam secara menyeluruh menerusi peruntukan RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2026, termasuk untuk memartabatkan pendidikan Islam, memperkasakan masjid dan memperluas kefahaman Islam di pelbagai peringkat.