HOTEL ZENITH HENTI OPERASI
SUSULAN PEKERJA POSITIF COVID-19
KUANTAN: Hotel Zenith di sini hari ini menutup operasi harian untuk tempoh sementara selepas salah seorang pekerjanya disahkan positif COVID-19.
Pengurusan hotel tersebut menerusi kenyataan di laman sesawangnya berkata, pekerja berkenaan kini dirawat di hospital selepas mengalami gangguan pernafasan.
GAMBAR HIASAN
Menurut kenyataan itu lagi, kakitangan berkenaan bagaimanapun tidak melakukan kontak rapat bersama pekerja-pekerja lain di premis tersebut sebelum disahkan positif.
“Pihak hotel sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk melakukan langkah seterusnya bagi mengawal risiko jangkitan serta langkah pembasmian kuman.
“Dengan itu, pihak kami mengumumkan penutupan sementara premis hotel ini bagi membolehkan langkah-langkah tersebut dilaksanakan,” ujar kenyataan itu yang disiarkan KOSMO! Online.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai urusan di hotel tersebut boleh menghubungi Pengarah Operasi, Eddie Sani melalui talian 09-565 9595 untuk keterangan lanjut.