Hospital Ampang bekerjasama dengan pusat jagaan warga emas
Foto atas : Warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) merakamkan kenangan bersama-sama Dr Rahimah, Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan & Kebajikan, Kelab Kejururawatan dan Puspanita Cawangan Hospital Ampang, Selangor serta pihak pengurusan PJMM selepas Program Lawatan Amal Sinar Kasih Ramadan Hospital Ampang, baru-baru ini.
Hospital Ampang bekerjasama dengan pusat jagaan warga emas
AMPANG – Hospital Ampang, Selangor akan sentiasa bekerjasama terbaik dengan pusat jagaan dalam memastikan warga emas tersisih dan tiada waris yang discaj dari hospital mempunyai tempat yang selamat untuk berteduh bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Jabatan Kerja Sosial Hospital akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan terlebih dahulu cuba mengesan saudara mara warga emas terbabit sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk menghantarkan mereka ke pusat jagaan selepas usaha itu gagal.
Timbalan Pengarah Perubatan 3, Hospital Ampang, Selangor, Dr Rahimah Sahudi, berkata langkah itu bagi memastikan warga emas berkenaan mendapat pembelaan serta penjagaan dengan sempurna terutama memastikan kesejahteraan kesihatan mereka.
Menurutnya, tidak dinafikan peranan yang dimainkan pusat jagaan atau rumah kebajikan banyak membantu pihak hospital kerana mereka yang keluar dari wad biasanya sudah kembali sihat dan kekosongan di wad akan digunakan oleh mereka yang memerlukan rawatan.
“Saya difahamkan walaupun selesa berada di pusat jagaan ini pihak pengurusannya tetap berusaha mengesan waris atau saudara mara warga emas terbabitkan untuk memaklumkan kepada yang terpisah kerana pelbagai faktor.
“Tetapi apabila kekurangan maklumat mengenai warga emas seperti mana dihadapi Jabatan Kerja Sosial Hospital, selalunya usaha yang baik ini menemui kegagalan,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan Amal Sinar Kasih Ramadan Hospital Ampang ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, baru-baru ini.
Program itu anjuran Kelab Sukan & Kebajikan dan Kelab Kejururawatan Hospital Ampang serta Puspanita cawangan hospital berkenaan.
Turut hadir Pengerusi PJMM, Azman Rasman, Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado, Pengurus, Setiausaha PJMM, Sazali Mohiden dan Mohammad Syafiq Mohiadin.
Dr Rahimah turut menyarankan Kelab Sukan dan Kebajikan dan Kelab Kejururawatan serta Puspanita lebih kerap mengadakan aktiviti di pusat jagaan berkenaan dalam usaha memberi kegembiraan di samping keceriaan kepada warga emas di situ.
Menurutnya, mereka juga boleh mengadakan aktiviti gotong-royong di pusat itu dalam membantu meningkatkan taraf kesihatan dan kebersihannya serta mengambil warga emas sebagai ibu atau bapa angkat bagi membantu meringankan bebanan pihak pengurusan.
“Saya kagumi PJMM ini walaupun wujud sebagai pusat jagaan tidak berbayar tetapi masih mampu menyantuni warga emas dengan sempurna dan amat wajar bagi semua pihak membantu mereka daripada pelbagai segi,” katanya.
Sementara itu, Kumpulan Bekas Pelajar (Perempuan) 82 – 86 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Terengganu menyantuni warga emas di PJMM dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) pada 18 Februari lalu.
Wakil kumpulan itu, Aniza Abd Ghani, berkata kunjungan itu untuk melihat lebih dekat PJMM dan PJNH dalam menguruskan warga emas di situ yang mungkin tidak termampu dilakukan kebanyakan orang termasuk anak sendiri.
Jelasnya, ahli kumpulan itu sudah lama mengadakan kutipan setiap bulan untuk disalurkan kepada pusat berkenaan yang sekurang-kurangnya meringankan kos pembiayaan dan paling penting merapatkan lagi ukhuwah antara mereka yang kini berjaya dalam pelbagai bidang serta kerjaya.-SAHIH.