Homeodialisis(YASA) Pekan dirasmikan Agong
Homeodialisis(YASA) Pekan dirasmikan Agong
PEKAN – Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini merasmikan sebuah lagi Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) yang beroperasi di Pekan, Pahang.
Pusat Hemodialisis YASA Pekan ini beroperasi Isnin hingga Sabtu dari jam 8 pagi hingga 5 petang, berkeupayaan merawat 23 pesakit sehari, dilengkapi dengan 12 mesin dialisis serta 13 kakitangan.
Pusat Hemodialisis ini merupakan pusat rawatan yang ketiga ditubuhkan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) selepas pembukaan Pusat Hemodialisis YASA yang pertama di Cheras pada 7 Ogos 2019 dan yang kedua di Setiawangsa, Wilayah Persekutuan pada 12 Ogos tahun lalu.
Perkhidmatan rawatan dialisis merupakan satu inisiatif di bawah Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) untuk membantu pesakit buah pinggang kronik yang tidak berkemampuan terutama daripada Kumpulan B40 dan M40 melalui penubuhan beberapa pusat hemodialisis.
Menerusi kenyataan Media Istana Negara, Baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat serta para dermawan dan penyumbang seperti MUIP Holdings Sdn. Bhd., Yayasan Albukhary dan Syarikat Tanah Makmur Berhad dalam menjayakan inisiatif penubuhan Pusat Hemodialisis YASA Pekan.
Baginda turut menyeru lebih ramai individu serta pihak swasta untuk tampil membantu golongan sasar ini mendapatkan rawatan hemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan, lebih-lebih lagi ketika ini rakyat masih lagi terkesan impak pandemik COVID19 kepada sosio-ekonomi mereka.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.-SAHIH