HKL NAFI PESAKIT COVID-19 DILETAKKAN DALAM TANDAS HOSPITAL
HKL NAFI PESAKIT COVID-19 DILETAKKAN DALAM TANDAS HOSPITAL
KUALA LUMPUR – Hospital Kuala Lumpur (HKL) menafikan pesakit-pesakit Covid-19 diletakkan di ruangan tandas hospital berkenaan seperti ditularkan di media sosial.
Unit Komunikasi Korporat HKL dalam satu kenyataan memaklumkan, video berkaitan merupakan video lama yang telah digunakan semula dengan pelbagai versi palsu.
“Video ini adalah situasi kesesakan yang berlaku di Bilik Dekontaminasi (Decon Room) Jabatan Kecemasan HKL pada 19 Julai 2021.
“Bilik Dekontaminasi ini adalah berfungsi untuk mengasingkan pesakit-pesakit berjangkit seperti Covid-19,” kata kenyataan itu di laman Facebook HKL pada Ahad.
Kenyataan itu turut memaklumkan, keadaan di Jabatan Kecemasan HKL buat masa ini adalah terkawal dan dakwaan bahawa pesakit-pesakit ini diletakkan di ruangan tandas HKL adalah tidak benar, lapor SINAR HARIAN
“Oleh itu, orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak mempercayai berita yang ditularkan,” tambah kenyataan itu.