Himpunan Aman Isu Ekuiti Bumiputera Dapat Lampu Hijau PDRM
Himpunan Aman Isu Ekuiti Bumiputera Dapat Lampu Hijau PDRM
KUALA LUMPUR – Orang ramai dijemput hadir ke satu himpunan aman yang dijadual berlangsung esok di Menara Kuala Lumpur bagi menunjukkan solidariti mempertahankan isu penyusutan pemilikan ekuiti bumiputera.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh Sekretariat Pemerkasaan Pemilikan Strategik Bumiputera (SEPATRA) itu telah mendapat kelulusan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus membuka ruang kepada rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan untuk turut serta.
Pengarah Program dan Mobilisasi SEPATRA, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, himpunan tersebut akan berlangsung dari jam 1.30 hingga 3.30 petang tanpa sebarang perarakan atau pemakaian tema khas.
“Tiada sebarang halangan untuk orang ramai hadir dan menyertai perhimpunan ini yang bertemakan ‘Mempertahankan Ekuiti Bumiputera’,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Tambahnya, perhimpunan ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu gerakan rakyat bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu penyusutan pegangan ekuiti bumiputera dalam konsesi Menara Kuala Lumpur.
Menurut Mohamad Shafiq, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada PDRM atas sikap profesional dan komitmen mereka dalam menghormati hak berhimpun sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Kami turut berharap agar tiada sebarang provokasi berlaku dan perhimpunan ini dapat berlangsung dalam suasana aman dan tertib,” katanya.
SEPATRA menyeru semua pihak hadir dengan penuh rasa tanggungjawab dan menjunjung prinsip keamanan demi memperjuangkan kedudukan ekonomi bumiputera di negara ini.
Himpunan ini dilihat sebagai isyarat penting terhadap usaha memperkasa pemilikan strategik bumiputera yang kini didakwa semakin terancam akibat perubahan dasar dan pegangan.-SAHIH