Hilang selepas hantar pelanggan memancing
Hilang selepas hantar pelanggan memancing
KLANG – Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dikhuatiri terjatuh ke dalam laut semasa perjalanan pulang ke Pulau Carey selepas menghantar pelanggan memancing di Pulau Ketam.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, mangsa dikenali Hasmudin Anak Omar, 24, dilaporkan hilang semalam kira-kira 0.1 batu nautika selatan Selat Mahang, Pulau Che Mat Zin.
“Bot mangsa telah dijumpai berpusing-pusing di tengah laut tanpa penumpang.
“Mangsa dikatakan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna putih dengan berseluar pendek warna kuning sebelum dilaporkan hilang di laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran itu, Mohd. Rosli berkata, operasi Carilamat telah dilaksanakan menerusi bot Maritim Pengawal 25 dan aset udara Maritim serta dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin (PPM),Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).
Jelas beliau, sektor pencarian operasi merangkumi keluasan 114.58 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pintu Gedung sehingga Perairan Pulau Carey.
“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di jeti Pasukan Polis Marin, Selangor, lapor kosmo online.
“Orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut,” jelasnya.