Hilang kawalan sekelip mata, pemandu 4×4 maut rempuh tiang Plaza Tol Bentong
Hilang kawalan sekelip mata, pemandu 4×4 maut rempuh tiang Plaza Tol Bentong
BENTONG – Perjalanan seorang lelaki warga emas bersama isterinya berakhir tragedi apabila kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang keselamatan di Plaza Tol Bentong, Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak, semalam.
Dalam kejadian di Kilometer 61.7 lebuh raya berkenaan itu, mangsa, Mohd Sapri Aziz, 65, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas kenderaan dipandunya terbalik ke bahagian sisi pemandu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati kenderaan mangsa yang dalam perjalanan dari Raub ke Kuala Lumpur dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum melanggar tiang keselamatan batu nosing di Lorong 02 plaza tol berkenaan.
“Impak pelanggaran menyebabkan kenderaan tersebut terbalik ke sebelah kanan, iaitu di bahagian pemandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, isteri mangsa yang berusia 61 tahun terselamat namun mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan telah dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, kejadian berlaku di kawasan plaza tol yang sering dilalui pengguna lebuh raya, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai punca sebenar kenderaan itu boleh hilang kawalan dalam sekelip mata.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis kini sedang mengesan saksi kejadian termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Plaza Tol Bentong.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan, manakala semua pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa berwaspada ketika memandu, terutama di laluan lebuh raya.-SAHIH
