HAYATI KONSEP KELUARGA MALAYSIA UNTUK BANGKIT SEMULA
HAYATI KONSEP KELUARGA MALAYSIA UNTUK BANGKIT SEMULA
LIPIS: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad bersetuju dengan Konsep Keluarga Malaysia yang sangat inklusif dan terasa sangat dekat dengan rakyat menunjukkan satu nilai prihatin dan kasih sayang sesama kita semua satu keluarga besar Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata Perdana Menteri, Datuk seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperkenalkan frasa Keluarga Malaysia mengajak seluruh rakyat Malaysia merentasi fahaman politik, tidak kira kaum dan agama untuk mendakap erat prinsip kebersamaan, bagi memastikan kita semua bersama-sama keluar dari pandemik ini.
“Justeru, tanggungjawab kita untuk sama-sama menghargai persamaan, bukan perbezaan, agar kita mampu membina semula negara Malaysia yang lebih cemerlang dan gemilang.
“Saya amati bait-bait tersebut yang disampaikan oleh Perdana Menteri, setiap tingkah yang dilakukan umpama “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak, sungguh puitis dan mendalam maksudnya,” katanya.
Katanya, Perdana Menteri turut menyampaikan ungkapan keringat dan nilai sesuap nasi cukup difahami, beliau sedang bekerja sebagai seorang perdana menteri untuk semua, demi menjaga nyawa, keringat dan nilai sesuap nasi semua rakyat Malaysia, sama-sama kita berganding bahu membantu beliau memacu negara keluar dari krisis ini.
“Diharapkan semua peringkat rakyat Malaysia sewajarnya bersama mengembleng tenaga dan keringat serta membulatkan tekad untuk memastikan Malaysia kembali mengaum di rantau ini,” katanya.-SAHIH.