HATI-HATI KELIBAT TIGA ORANG MENGUTIP DERMA DI KAWASAN JENGKA
HATI-HATI KELIBAT TIGA ORANG MENGUTIP DERMA DI KAWASAN JENGKA
JERANTUT: Penduduk di Felda di sekitar Kawasan Jengka diminta berhati-hati dengan kelibat dua lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 20an yang menjalankan aktiviti mengutip derma sejak dua hari lalu dan turut menggunakan sebuah kereta jenis Myvi berwarna emas dengan nombor plet palsu.
Kejadian itu disedari oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Jengka 14 yang bertugas, mula mengesyaki perbuatan itu kerana tiga individu itu pergi dari rumah ke rumah untuk mengutip derma pada kadar yang telah ditetapkan.
Pengurus Jengka 14, Mohd Tamrin Zakaria berkata kejadian itu disedari oleh anggota Rela di situ, kejadian berlaku kira-kira jam 3.00 petang , anggota Rela mengekori, mereka erus menghilangkan diri.
“Anggota Rela hairan perbuatan itu melanggarkan operasi prosedur standard (SOP) kerana mereka pergi dari rumah ke rumah, bila bertanya kepada beberapa orang yang sempat dikunjungi oleh kumpulan itu, mereka menagih derma dengan nilai yang telah ditetapkan.
“Menyedari mereka diekori, mereka menggunakan kereta dan terus menghilangkan diri ketika dikejar oleh anggota Rela,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Jengka pada jam 6.00 petang memaklumkan kejadian itu.
“Polis sempat menyemak nombor plet kenderaan itu dan didapati menggunakan plet palsu, pihak polis memohon orang ramai yang terserempak dengan kumpulan itu segera membuat laporan ke balai polis berdekatan,”katanya.
Pengerusi Biro Sosial Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, beliau berharap jika orang ramai yang tahu kejadian seperti yang berlaku di Felda Jengka 14, segera membuat aduan kepada pengurus rancangan atau kepada pihak polis dengan segera kerana perbuatan itu melanggar SOP.
“Dimaklumkan aktiviti ini kononnya membuat kutipan derma untuk tabung mangsa PKP, ini adalah satu perbuatan satu kumpulan yang tidak bertanggungjawap sama sekali.
“Penduduk di tanah rancangan diminta supaya berhati-hati dengan mana-mana individu atau kumpulan kumpulan yang datang untuk meminta derma atau lain-lain aktiviti yang mencurigakan,” katanya.-SAHIH.