HARIMAU SUMATERA LOLOS DARI ZOO
HARIMAU SUMATERA LOLOS DARI ZOO
PONTIANAK: Seekor harimau Sumatera yang tergolong dalam spesis terancam ditembak mati hari ini manakala seekor lagi masih bebas selepas lolos dari sebuah zoo di pulau Borneo.
Kedua-dua harimau betina berumur 18 bulan itu terlepas dari Zoo Sinka yang terletak di bandar Singkawang dekat Kalimantan Barat pada lewat petang semalam ketika hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh dan mewujudkan ruangan terbuka.
GAMBAR IHSAN AFP
Seorang penjaga zoo berumur 47 tahun turut ditemui mati dengan kesan cakaran dan gigitan pada badannya, lapor AFP.
Selain itu, pihak berkuasa juga menjumpai bangkai burung kasawari, burung unta dan monyet berhampiran kandang harimau itu.
Berikutan itu, tempat pelancongan berdekatan diperintahkan ditutup dan penduduk tempatan dimaklumkan supaya kekal berada dalam rumah masing-masing sementara pihak polis mencari haiwan itu.
Ketua Agensi Pemuliharan Tempatan, Sadtata Noor Adirahmanta, memberitahu AFP bahawa polis dan pegawai perhutanan segera dikejarkan ke tempat kejadian untuk mencari harimau yang masih terlepas.
“Kami cuba dengan senapang ubat pelali terlebih dulu tetapi tidak berjaya.
“Jadi, kami terpaksa menembak harimau itu kerana bertindak agresif.
“Kami takut ia akan melarikan diri ke kawasan berhampiran meskipun kami berusaha sedaya upaya untuk menangkapnya hidup-hidup, keutamaan kami adalah keselamatan manusia,” katanya.
Ketika ini, pihak berkuasa masih menjalankan operasi pencarian seekor lagi harimau di hutan yang mengelilingi zoo berkenaan.
GAMBAR IHSAN AFP
Turut disediakan, sebuah sangkar yang diletakkan umpan bagi memujuk harimau berkenaan pulang pada waktu makannya.
Harimau Sumatera dianggap haiwan paling terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN), dipercayai kurang 400 ekor haiwan itu masih hidup dalam hutan.
Anggota badan haiwan itu digunakan meluas dalam perubatan tradisional terutama di China, meskipun terdapat bukti saintifik ia tidak mempunyai nilai yang bermanfaat.