Harimau Malaya calar reputasi Korea Selatan, seri 3-3
Harimau Malaya calar reputasi Korea Selatan, seri 3-3
HARIMAU Malaya mencalar reputasi pasukan Korea Selatan selepas 35 tahun dengan mencatatkan keputusan seri 3-3 dalam perlawanan terakhir masing-masing dalam Kumpulan E, Piala Asia di Stadium Al Janoub, Qatar sebentar tadi.
Pasukan Malaysia agak tenat pada masa pertama dengan mudah dipatahkan oleh pertahanan dan pemain tengah Korea Selatan seolah-olah tiada peluang untuk penyerang negara mendekati gawang pasukan lawan.
Pasukan Taeguk Warriors dilihat mendominasi sebahagian besar perlawanan dengan melakukan beberapa siri serangan menerusi pemain utama seperti Son Heung-min dan Lee Kang-in.
Gol yang dicari akhirnya tiba hasil daripada tandukan Jeong Woo-Yeong pada minit ke-21 menerusi situasi sepakan penjuru.
Anggapan pasukan negara tidak dapat menyaingi pasukan lawan ternyata meleset, selepas bersambung pada babak kedua, skuad negara memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menyamakan kedudukan hasil ledakan menarik pemain sensasi, Faisal Halim pada minit ke-51.
Pada minit ke-61, tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi meletakkan Malaysia didepan menerusi sepakan penalti pada minit ke-62.
Jaringan Arif Aiman membuat Korea Selatan menggandakan asakan dan kembali menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Lee Kang-in pada minit ke-82.
Nasib Malaysia bertambah malang apabila Korea Selatan mendahului dengan kini kapten lawan, Son Heung-min meledak gol ketiga hasil sepakan penalti pada masa kecederaan.
Di penghujung masa kecederaan, bayangan kekalahan pasukan negara mula kelihatan tetapi tanpa Lelah dan jemu pemain negara terus menekan pasukan lawan.
Akhirnya, penyerang naturalisasi negara, Romel Morales muncul wira apabila meledak gol ketiga pada masa kecederaan minit ke-115 untuk memastikan pasukan negara pulang dengan satu mata berharga.-SAHIH.