HARI KANAK-KANAK ESOK
Berita Nasional
SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK PERINGKAT KEBANGSAAN DIRAIKAN ESOK
PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2020 tetap diraikan esok walaupun dalam suasana yang berbeza dengan amalan norma baharu.
Ia berikutan negara masih berjuang menghadapi pandemik COVID-19, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Bumi Lestari: Kanak–kanak Dilindungi dipilih sebagai tema Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2020 selari tema Hari Kanak-kanak peringkat antarabangsa iaitu Climate Change: For Children, by Children.
Tema itu adalah manifestasi tanggungjawab kerajaan dan masyarakat Malaysia untuk berganding bahu dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak pada hari ini dan masa hadapan, jelasnya.
Menurut KPWKM, bancian penduduk Malaysia bagi 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 28.5 peratus daripada 32.6 juta penduduk Malaysia adalah kanak-kanak.
Sejumlah 9.3 juta kanak-kanak itu merangkumi 4.8 juta kanak-kanak lelaki dan 4.5 juta kanak-kanak perempuan, adalah kumpulan mudah terdedah kepada pelbagai perkara yang boleh mengganggu keseimbangan pertumbuhan dari segi psikologi dan psikososial mereka, katanya.
“Kemajuan dan kemakmuran negara tidak akan membawa erti sebenar sekiranya tiada usaha menangani isu-isu semasa berkaitan kanak-kanak khususnya menyentuh kelestarian alam dan masa hadapan kehidupan kanak-kanak,” kata KPWKM.
Sumber : BERNAMA